JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, July 22, 2009

KANCIL TRANSFORMERS




SYED Hafiz (kiri) dan Oaki menunjukkan unit terakhir Kancil di kilang Perodua, Rawang, semalam.

Model pertama dan paling lama diganti ViVa 660BX

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) semalam secara rasminya menghentikan pengeluaran model pertama dan paling lamanya, Kancil serta menggantikan model itu dengan model asas ViVa, iaitu ViVa 660BX.

Pemberhentian pengeluaran Kancil 660cc yang menjadi ikon terbesar di jalan raya Malaysia itu dibuat selepas berada di jalan raya selama 15 tahun dengan merekodkan jualan lebih 708,000 unit sejak diperkenalkan pada Ogos 1994.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar, berkata meskipun pengeluaran Kancil dihentikan, syarikat tetap komited untuk terus membekalkan alat servisnya kepada pelanggan.

Katanya, keputusan menghentikan pengeluaran Kancil sudah lama dibuat kerana ingin memenuhi matlamat dalam memberikan nilai bagi setiap ringgit yang dibelanjakan pelanggan untuk kereta keluaran Perodua.

"Untuk mencapai matlamat ini, kami memperkenalkan ViVa 660BX yang mempunyai teknologi baru dan terkini, khususnya dari segi penjimatan minyak sebagai pengganti Kancil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandakan pemberhentian pengeluaran model Kancil dan pengenalan model ViVa 660BX, di kilang Perodua, Rawang, semalam. Hadir sama, Pengarah Urusan Perodua, Osamu Oaki.

Pada majlis itu, Perodua mengeluarkan unit Kancil terakhirnya ke-722,223.

Model Kancil diperkenalkan sejurus selepas syarikat itu diperbadankan pada 1994 dengan kumpulan pertama dilancarkan pada 29 Ogos tahun itu dengan kapasiti pengeluaran 45,000 unit setahun.

Sejak pelancaran sulungnya, Kancil menjalani beberapa proses pengubahsuaian, naik taraf dan perubahan wajah serta menjadi model yang membina jenama Perodua, di dalam dan luar negara.

Perodua menjual 50,000 unit pertamanya dalam setahun selepas ia memulakan pengeluaran, dan mencapai jualan sebanyak 100,000 unit pada 1997 meskipun berlaku krisis kewangan Asia, tegasnya.

Secara purata, Perodua menjual 4,000 unit Kancil sebulan dan pada Oktober 2002, model itu mencatatkan jualan bulanan tertinggi sebanyak 7,700 unit.

Syed Hafiz menjelaskan, dengan pengenalan ViVa 660BX, ia dijangka membantu pihaknya mencapai sasaran jualannya sebanyak 158,000 unit tahun ini.

Dalam enam bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 77,000 unit kenderaan.

ViVa 660BX, berharga RM25,300 dengan kapasiti enjin 660cc, didatangkan khas dalam tiga warna iaitu putih, hitam dan perak. Variasi berkenaan hanya boleh didapati dalam transmisi manual.

Menyentuh mengenai prestasi industri automotif, Syed Hafiz berkata, pihaknya yakin industri itu akan pulih sepenuhnya menjelang 2011 sejajar peningkatan perbelanjaan pengguna dan pemulihan ekonomi global.

"Tahun ini, Perodua mengunjurkan jualan berjumlah 500,000 unit dan antara 510,000 hingga 520,000 pada 2010 serta hingga 548,000 unit pada 2011.

"Kami berpendapat industri automotif akan bertambah baik dan akan mencapai jumlah 520,000 unit, manakala jualan Perodua sekali lagi dijangka mencecah 167,000 unit pada 2010, pencapaian jualan tertinggi dalam sejarah yang direkodkan Perodua tahun lalu," katanya.

bharian

No comments: