JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, July 28, 2009

Bangunan baru DUN dirasmi


Tuanku Mizan Zainal Abidin menandatangani plak perasmian bangunan DUN Sarawak sambil disaksikan raja-raja Melayu atau wakil baginda dan Yang Dipertua Negeri-Negeri di Kuching, semalam.


KUCHING 27 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan bangunan baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Petra Jaya pada satu majlis penuh bersejarah.

Majlis perasmian bangunan baru dewan perundangan yang dibina dengan kos RM300 juta itu turut dihadiri Raja-raja Melayu atau wakil baginda serta Yang Dipertua Negeri-Negeri.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Mizan yang diiringi Raja Permaisuri Agong melakukan pemeriksaan barisan kehormat Batalion Ke-11 di halaman bangunan baru yang berhadapan dengan Sungai Sarawak itu.

Kesemua orang kenamaan yang hadir turut menandatangani sebuah plak sebagai memperingati peristiwa tersebut.

Selesai majlis perasmian, pasangan diraja itu bersama Raja-Raja Melayu atau wakil, Yang Dipertua Negeri-Negeri serta pasangan masing-masing dibawa melawat bangunan berkenaan sebelum bersantap.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud turut mengiringi Yang di-Pertuan Agong serta Duli-Duli Tuanku sepanjang majlis perasmian bangunan baru DUN Sarawak itu.

Dibina atas tapak seluas 68.8 hektar, bangunan baru DUN Sarawak yang siap dibina Mei lepas terletak berhampiran Astana, tempat kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Tersergam indah di atas bukit yang menggabungkan reka bentuk moden dan kebudayaan tempatan, ia akan menjadi tempat untuk 108 ADUN Sarawak bersidang.

Bangunan sembilan tingkat itu dibina dengan menggabungkan pelbagai elemen kaum serta etnik di negeri ini termasuk bentuk terendak atau topi yang dipakai etnik Melanau.

DUN Sarawak telah menempuh tiga zaman yang penting iaitu zaman keluarga Brooke, diikuti dengan zaman kolonial atau zaman penjajahan British dan ketiga, zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.

Tuanku Mizan yang dijadual menghadiri Pra Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-218 di tempat yang sama esok akan menyaksikan regata khas pada petang ini serta perarakan kapal berhias di Tebingan Kuching.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-218 dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan berlangsung pada Rabu dan Khamis ini.

No comments: