JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, July 22, 2009

Pelancong Di Sarawak Dijangka Turun


KUCHING, 21 Julai (Bernama) -- Ketibaan pelancong di Sarawak dijangka menurun antara lima hingga 10 peratus akibat virus Influenza A (H1N1) dan krisis ekonomi global, kata Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan negeri Datuk Michael Manyin.

Beliau berkata pengusaha pelancongan negeri sudah bersedia menghadapi penurunan ketibaan pelancong berikutan kebanyakan negara sedang mengalami penurunan daripada segi pelancongan ekoran kegawatan ekonomi global.

"Kemelesetan dan kebimbangan mengenai influenza di seluruh dunia pasti akan turut menjejaskan industri pelancongan negeri. Jika situasi ini berterusan, ketibaan pelancong di negeri ini akan turun antara lima hingga 10 peratus.

"Kami berharap situasi penyakit Influenza A (H1N1) dan ekonomi akan pulih tidak lama lagi supaya kita dapat bangkit semula menjelang akhir tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Manyin berkata Sarawak mensasarkan ketibaan 3.4 juta pelancong tahun ini.

"Saya jangkakan kami tidak akan dapat mencapai sasaran itu jika keadaan sekarang berterusan," katanya.

Terdahulu, Manyin berkata kejohanan ke-18 Piala Dunia Karate Kobe Osaka Antarabangsa (KOI) akan diadakan di sini dari 23 hingga 26 Julai di Stadium Tertutup Sarawak di Petra Jaya.

Katanya kira-kira 2,000 peserta dari 35 negara termasuk Scotland, Itali, Greece, India, Mesir, Belanda, Russia, Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi, Iran, Hong Kong, Indonesia, Vietnam dan Australia dijadual bertanding dalam lebih 30 kategori (berumur lapan hingga 45 tahun dan ke atas).

Malaysia akan diwakili pasukan kebangsaan dan kelab dari Pahang, Labuan, Sabah dan Sarawak.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dijadual merasmikan temasya itu pada Khamis.

No comments: