JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, July 22, 2009

Industri hartanah dijangka pulih

KUCHING: Pendapatan industri hartanah di Sarawak yang turut terjejas ekoran kemelesetan ekonomi dunia, sejak dua tahun lalu, dijangka dapat dipulihkan, pada suku ketiga, 2010.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg, berkata ramalan itu ekoran sejak kebelakangan ini terdapat beberapa laporan membayangkan bahawa ekonomi negara termasuk Sarawak, kini mulai keluar dari waktu payah.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak yang terbabit dalam merancang dan melaksanakan hala tuju ekonomi negeri ini, kini semakin gigih memantapkan ekonomi.

Katanya, berdasarkan beberapa fakta yang ada setakat ini, ekonomi negara Eropah dan Amerika Syarikat dikatakan mulai pulih sejak beberapa bulan lalu.

"Saya yakin dengan fakta itu, ekoran terdapat pertunjuk bahawa jumlah eksport barangan elektronik keluaran Sarawak yang dihantar ke Amerika Syarikat sejak kebelakangan ini semakin bertambah berbanding tahun lalu.

"Peningkatan permintaan terhadap barangan elektronik keluaran Sarawak oleh Amerika Syarikat, sekarang membuktikan bahawa ekonomi negara terbabit semakin pulih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Penghantaran Data 'Online' PRISM, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, di sini, semalam.

Apapun Johari berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, kesan pemulihan ekonomi di negeri ini hanya akan dirasai pada suku ketiga, 2010.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, krisis ekonomi yang melanda dunia sejak dua tahun lalu, turut memberi kesan kepasaran harta tanah di negeri ini.

Katanya, untuk suku pertama, tahun ini, harta yang siap dibina di negeri ini tetapi tidak terjual membabitkan 654 unit kediaman, 300 unit kedai dan 10 unit bangunan industri bernilai RM260.76 juta.

Disamping itu Johari berkata, terdapat juga harta dalam pembinaan yang masih belum terjual membabitkan 1,411 unit kediaman dan 118 unit kedai.

"Manakala bagi bangunan komersial pula, terdapat ruang kosong seperti 50,370 meter persegi ruang pejabat dan 67,250 meter persegi ruang niaga.

"Walaupun keadaan pasaran masih terkawal, harta yang tidak terjual serta ruang kosong di bangunan komersial adalah penawaran yang tidak dapat diserap oleh pasaran akibat daripada 'mismatch' di antara penawaran dan pemintaan," katanya.

Johari berkata, keadaan itu boleh dianggap sebagai pembaziran terhadap dana pelaburan di dalam sektor kewangan.

Beliau berkata dalam konteks Malaysia serta negeri ini khasnya, membuat pelaburan yang tepat amatlah penting bagi kemajuan Sarawak.

"Kita perlu mengelakkan daripada membuat pembaziran terhadap sumber yang ada," katanya.

bharian

No comments: