JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, July 22, 2009

AWAS JIKA HADIR MAJLIS PAKATAN


Berkuat kuasa serta-merta, semua pegawai agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilarang menghadiri sebarang mesyuarat atau kursus anjuran kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, arahan itu dikeluarkan ekoran kegagalan kerajaan negeri menyumbang dana atau bantuan kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.

Beliau menegaskan, kehadiran pegawai di bawah kementeriannya ke mesyuarat atau kursus di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang hanya membuang masa tanpa ada sebarang usaha boleh dilakukan demi kebaikan rakyat.

"Di dalam mesyuarat pembangunan negeri atau daerah, perkara dibincang biasanya berkisar mengenai projek serta aktiviti yang mahu dijalankan oleh sesebuah agensi dan jabatan.

"Masalah di negeri-negeri ini, mereka hanya pandai mengarah tetapi tiada dana diberikan. Alih-alih, Kerajaan Pusat juga yang beri dana dan mereka yang dapat nama," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 2008 di Hotel Grand Seasons di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail dan Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ahmad.

Pada majlis itu, Noh menyampaikan anugerah tersebut kepada 120 orang kakitangan pelbagai jawatan.

Mustafa turut menerima Anugerah Emas LKIM di atas khidmatnya selama 30 tahun bersama LKIM.

Ditanya mengenai tindakan terhadap pegawai yang mengingkari arahan itu, beliau menegaskan tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka.

"Anda bekerja, pergi mesyuarat kononnya, tetapi tiada apa boleh dilakukan untuk rakyat.

"Disebabkan ia jelas tidak membawa kebaikan, tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka yang melanggar arahan ini," tegasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, elaun sara hidup sebanyak RM200 yang dinikmati seramai 55,000 nelayan kecil kini, tidak lagi akan dimasukkan ke akaun bank penerima.

Sebaliknya beliau berkata, nelayan terlibat perlu hadir sendiri ke pejabat LKIM untuk mendapatkan wang tersebut dan mereka akan dikumpulkan di dalam sebuah majlis.

Menurut beliau, ia bagi membolehkan pihak LKIM bertemu dengan nelayan kecil tersebut bagi mendekati serta memotivasikan mereka agar berubah menjadi lebih baik.

"Ia akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di kawasan saya (Tanjung Karang) mulai 10 September depan. Kalau boleh, nelayan-nelayan kecil ini mahu dimotivasikan dan dibantu menjadi nelayan lautan dalam," katanya.

utusan

No comments: