KOTA KINABALU 17 Julai - Pengguna pengangkutan awam di bandar raya ini tidak bersetuju dengan kadar tambang baru yang diumumkan kerajaan kerana ia disifatkan sebagai tidak masuk akal dan tidak adil.
Mereka berkata, kadar tambang khususnya bas tidak sepatut dinaikkan kerana ia sudah dinaikkan tahun lalu ketika harga minyak mencapai paras tertinggi.
Shamsuri Tahir, 38, berkata, sejak harga minyak semasa turun, pengusaha bas tidak pernah menurunkan kadar tambang mereka.
"Dahulu tambang dari Papar ke pusat bandar hanya RM3.50 tetapi semenjak kenaikan harga minyak ia dinaikkan kepada RM5. Walaupun harga minyak sudah turun tetapi harga tambang tetap sama.
"Hari ini kerajaan bersetuju menaikkan lagi harga tambang. Kalau difikir memang tidak logik. Sudah harga barang mahal, pengangkutan awam juga mahal. Segalanya mahal di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagu pengguna bas, Fatriah Mohd. Jamal, 23, yang tinggal di Kinarut berkata, jika kadar baru dilaksanakan dia mungkin terpaksa mengeluarkan sebanyak RM15 untuk pergi dan balik pejabat berbanding RM10 sebelum ini.
"Itu tidak termasuk makan dan minum. Jika dicampur berapa lagi tinggal gaji saya yang tidak seberapa ini," katanya bekerja di Wisma Merdeka di sini.
Raridah Abdul Jabar, 22, yang tinggal di Lok Kawi berkata, pada masa ini beliau memperuntukkan RM7 untuk tambang bas pergi dan balik bekerja.
''Bagaimanapun dengan kenaikan tambang ini saya terpaksa mengeluarkan belanja lebih dalam keadaan gaji masih sama.
''Saya berharap kerajaan turut mengambil kira nasib kami yang tinggal di pinggir bandar dan bergantung kepada pengangkutan awam," katanya.
Reson Justin, 21, berkata, kenaikan kadar tambang bas awam secara mendadak akan menambah beban hidup mereka ketika ini.
"Apa jaminan kami akan mendapat perkhidmatan yang lebih baik dari pengusaha pengangkutan awam. Bas tetap begitu juga," katanya.
Seorang lagi pengguna, Jeam Elek, 35, berkata, kadar tambang itu sangat membebankan terutama bagi mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah dan menjadikan bas awam sebagai pengangkutan utama.
"Gaji kami hanya RM500 hingga RM600 sebulan. Bagaimana kami hendak menghadapi semua ini," katanya.
Ramai bantah tambang naik
KUCHING 17 Julai - Pengumuman kenaikan tambang pengangkutan awam oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz semalam mendapat pelbagai reaksi orang ramai di bandar ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini hari ini mendapati rata-rata pengguna pengangkutan awam kurang senang dengan kenaikan kadar tambang tersebut.
Seorang pelajar, Mohd. Hafizan Hamid, 17, berkata, dengan kenaikan itu sukar baginya berbelanja membeli kelengkapan sekolahnya yang lain.
"Kalau dah banyak guna duit bayar tambang saja, mana nak belanja makan, mana nak beli buku lagi. Semuanya pun nak kena guna duit.
"Ayah pula dah pencen, ibu saya suri rumah," katanya kepada.
Paul Kamri, 53, memberitahu kenaikan tambang diumumkan semalam tidak wajar sama sekali.
Ujarnya, ia tidak adil bagi rakyat kerana kini harga minyak sudah mulai stabil dan tindakan kerajaan tersebut ternyata tidak rasional.
Menurut beliau, bagi keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak bersekolah amat mustahil bagi mereka untuk mengatur perbelanjaan harian.
"Kesannya menyebabkan lebih ramai yang terpaksa berhutang dengan ah long kerana tidak mampu menguruskan perbelanjaan harian keluarga," katanya.
Bagi Awang Selimi Awang Mohd, 37, kerajaan sepatutnya memberi perhatian lebih kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana mereka kurang mampu untuk membayar harga tambang bas dan teksi yang terlalu tinggi.
"Bagi keluarga yang tidak mampu, kenaikan tambang bas ini keterlaluan. Lebih-lebih lagi di negeri ini, tambang bagi pengangkutan awam sangat mahal,'' katanya.
"Jika dinaikkan lagi, ramai antara mereka yang terpaksa berjalan kaki untuk ke mana-mana terutama murid sekolah. Bayangkan anak kecil terpaksa berjalan jauh ke sekolah dengan membawa beg yang berat," tambahnya.
Seorang pengusaha, Saiffudin Phot, 30, berkata, kenaikan tambang pengangkutan awam tersebut ada baik dan buruknya.
Katanya, dari sudut positif, kerajaan prihatin dengan mendengar rungutan dan keluhan daripada pengusaha bas dan teksi tidak dapat memperbaiki kemudahan yang mereka sediakan disebabkan kekurangan sumber pendapatan.
"Dari sudut negatifnya, ramai antara penduduk di bandar besar yang hanya bergantung kepada pengangkutan awam terpaksa akur dan berbelanja lebih semata-mata untuk membayar tambang tersebut," katanya.
Baginya kesan daripada itu, berkemungkinan besar golongan berpendapatan rendah terpaksa mengurangkan simpanan bulanan malah mungkin ada yang terpaksa berhutang.
No comments:
Post a Comment