Tindakan tidak ambil MyKadtidak sesuai
KUCHING 23 Julai - Sarawak berpendapat adalah tidak sesuai jika kerajaan bercadang untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemohon yang gagal menuntut MyKad dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Cadangan tersebut tidak adil bagi masyarakat pedalaman berpendapatan rendah yang menetap jauh dari bandar-bandar utama, kata Menteri Kemajuan Tanah, Datuk Seri Dr. James Jemut Masing.
Beliau berkata, sekiranya cadangan tersebut dikuatkuasakan, ia akan meningkatkan bebanan rakyat khususnya yang menetap jauh di pedalaman.
''Apa yang paling penting untuk ditekankan di sini ialah mendapatkan pendaftaran kelahiran bagi anak-anak kecil di pedalaman dan bukannya isu mengenai kegagalan pemohon menuntut kad pengenalan masing-masing," katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan kerajaan Pusat baru-baru ini untuk menggubal undang-undang ke atas pemohon yang ingkar mengambil MyKad dalam tempoh yang ditetapkan.
Masing berpendapat, untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengambil MyKad, kerajaan sepatutnya mengenakan bayaran perkhidmatan yang tinggi kepada pemohon MyKad.
Kos membuat sekeping MyKad ialah RM28 dan disiapkan dalam tempoh tiga bulan selepas permohonan.
Menurut Masing, jika kadar bayaran tinggi dikenakan kepada pemohon, rakyat akan lebih peka dan bertanggungjawab untuk menuntut MyKad masing-masing setelah disiapkan.
''Jika rakyat dikenakan bayaran yang tinggi, sudah tentu mereka mengambil MyKad. Malah mereka akan lebih bertanggungjawab pada MyKad mereka," jelas beliau.
utusan
No comments:
Post a Comment