JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, July 26, 2009

KRISIS BN KIAN PARAH


Penggantungan Huan Kekal, Jawatankuasa Khas Akan Semak Kes
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) --Penggantungan selama tiga tahun yang dikenakan terhadap naib presiden Gerakan Huan Cheng Guan kekal.

Jawatankuasa Pusat (CC) parti, pada mesyuaratnya hari ini, tidak menyemak tindakan gantung itu yang dikenakan terhadap Huan pada 31 Mei oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Sebaliknya CC memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai tiga pemimpin veteran untuk menyemak kes itu dan memantau kelakuan Huan dari sekarang dan mencadangkan kepada CC sebarang tindakan yang sesuai.

"Jawatankuasa khas ini boleh menerima dan mendengar representasi. Kecuali ia memutuskan untuk berbuat demikian lebih awal, jawatankuasa akan membuat semakan berkala dan melapor kepada CC setiap enam bulan," kata Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow dalam kenyataan Sabtu.

Jawatankuasa khas itu, diketuai bekas setiausaha agung parti Tan Sri Chan Choong Tak dan dianggotai bekas naib presiden parti Ng Lip Yong dan veteran parti yang juga anggota CC, Dr Chee See Cheok.

Teng berkata CC pada mesyuarat itu turut mengarahkan semua anggota tidak membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai perkara itu dan perkara lain berkaitan parti dan perlu menyalurkan sebarang pandangan dan maklum balas melalui saluran yang betul dalam parti.

Masalah Huan bermula awal bulan lepas, bertitik tolak daripada isu kecil mengenai pelantikan penyelaras cawangan di bahagian Machang Bubok di Pulau Pinang yang mendorongya mengeluarkan ugutan untuk keluar parti.

Ugutannya itu, ditambah pula dengan khabar angin kononnya beliau mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendorong parti mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya di mana beliau menjawab dalam surat dua perenggan termasuk permohonan maaf.

CWC mendapati beliau bersalah mencemarkan imej parti dan mengenakan hukuman gantung selama tiga tahun.

Bagaimanapun, Huan mendakwa ketiadaan pendengaran oleh lembaga disiplin sebelum hukuman gantung dikenakan terhadapnya menunjukkan wujud agenda di kalangan pemimpin tertenu dalam parti untuk menyingkirkan beliau.

Bekas Naib Presiden MIC S.S Subaramaniam Sertai PKR

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Bekas naib presiden MIC Datuk S.S Subramaniam menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) .

Keputusan itu dibuat tepat seminggu selepas bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng memutuskan untuk melompat ke parti yang sama.

Semasa mengesahkan perkara itu hari ini, Subramaniam berkata beliau menyertai PKR demi perpaduan kerana parti itu menyatukan semua bangsa di negara ini.

"Saya rasa ini parti untuk masa depan, Saya menyertai parti ini atas kerelaan sendiri," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Sabtu.

Subramaniam turut menafikan dakwaan bahawa beliau menyertai PKR kerana ditawarkan kedudukan tertentu dalam parti.

"Saya tidak dijanjikan sebarang jawatan (dalam PKR). Saya menyertainya sebagai anggota biasa," katanya.

Semasa dalam MIC, Subramaniam beberapa kali menjadi tumpuan kerana beliau banyak kali menentang presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu, menyebabkannya digugurkan daripada jawatan naib presiden pada 1994, untuk memberi laluan kepada pengantinya yang mempunyai nama serupa dengannya iaitu Dr S. Subramaniam.

Beliau merupakan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan anggota Parlimen Segamat.


Kong Cho Ha Nafi Ramai Anggota MCA Akan Ikut Jejak Chua Jui Meng

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Naib Presiden MCA Datuk Seri Kong Cho Ha menafikan dakwaan lebih ramai anggota parti itu akan menyertai bekas ketua MCA Bahagian Bakri, Muar Datuk Chua Jui Meng untuk keluar parti dan menyertai parti pembangkang.

"Dalam urusan parti ini, hari ini orang masuk (menyertai parti), hari esok orang keluar, itu proses biasa, bukan perkara baru. Malah dalam BN sendiri satu masa dulu, ramai yang keluar dari parti komponen masing-masing," katanya.

Sambil menafikan dakwaan Chua kononnya terdapat kelompok dalam MCA, Kong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata anggota parti itu cukup matang dan memahami perjuangan dan peranan yang dimainkan MCA selaku parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Kolej Tunku Abdul Rahman di sini Sabtu, Kong berkata tindakan Chua, yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden parti serta memegang jawatan Menteri Kesihatan, meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat pada 18 Julai lepas berkemungkinan sebagai penyataan rasa kecewa beliau terhadap parti.

Kong juga tidak menolak kemungkinan ketiadaan jawatan dalam parti dan BN, menjadikan Chua kecewa dan mengambil tindakan menyertai pembangkang.

"Sebenarnya kita boleh memberi sumbangan kepada parti walaupun tidak mempunyai jawatan penting dan apakah kerana hanya tidak berjawatan, perlu ambil tindakan meninggalkan parti," katanya.

Beliau berkata sesiapapun dalam MCA ada ruang untuk memberi sumbangan untuk pembangunan parti serta memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan negara, dan tanggungjawab itu lebih penting daripada kepentingan peribadi.

Sambil menyifatkan Chua sebagai seorang pemimpin parti yang disenangi dan disayangi masyarakat khususnya dalam MCA sendiri, Kong berkata Chua telah membangunkan karier politiknya melalui MCA dan mempunyai sejarah perjuangan yang panjang dalam parti.

"Bagaimanapun, setelah beliau mengumumkan untuk keluar dari parti, tak tahulah pula apa persepsi anggota MCA kepadanya," katanya.

Dakwaan Palsu Samy Vellu, Kata Subramaniam

SUNGAI PETANI, 25 Julai (Bernama) -- Bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S.Subramaniam menafikan bahawa beliau menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings Bhd dengan syarat Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu bersikap berkecuali dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden parti September ini.

"Dakwaan palsu ini merupakan contoh apa yang tidak betul dengan politik dalam MIC dan saya menjangkakan perkara ini dan banyak lagi daripada Presiden yang secara bersendirian berazam untuk menghalang sebuah pemilihan yang terbuka dan demokratik seperti yang dihasratkan oleh anggota pengasas MIC," katanya Sabtu.

Subramaniam memberitahu Bernama di sini, injunksi itu diperoleh oleh NESA, iaitu pemegang kepentingan dalam Maika, bagi mengelak kerugian Oriental Capital Assurance Berhad (OCAB).

"OCAB adalah satu-satunya syarikat insurans yang dimiliki oleh kaum India di Malaysia, jika bukan kerana injunksi itu, OCAB mungkin telah pun dijual kepada entiti bukan India tanpa terlebih dahulu dibuat penilaian tentang nilainya yang sebenar," katanya.

Beliau berkata Samy Vellu dan Maika mesti memperjelaskan kepada 60,000 pemegang saham berhubung sebab pengarah Maika begitu bertegas untuk menjual OCAB tanpa mendapatkan penilaian sewajarnya tentang nilainya yang sebenar.

Samy Vellu dipetik oleh sebuah akhbar tempatan sebagai berkata Subramaniam telah menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings asalkan Samy bersikap berkecuali dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden pada September ini.

Subramaniam berkata Pengarah Maika ketika itu tidak akan menafikan bahawa NESA telah menulis surat kepada mereka sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 31 Ogos 2007 yang menyatakan bahawa sungguhpun NESA tidak membantah penjualan itu, tetapi NESA mahu supaya pemegang saham Maika dimaklumkan mengenai nilai sebenar OCAB sebelum mendapat keizinan pemegang saham dalam AGM yang sama.

"Maika mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan mahkamah bahawa permohonan NESA untuk injunksi itu adalah mainan politik oleh saya demi kepentingan diri. Tidak memeranjatkan, dakwaan seperti itu tidak mendapat perhatian mahkamah dan menyebabkan mahkamah membenarkan injunksi yang memihak kepada NESA.

"Jika Samy benar-benar prihatin, beliau sepatutnya bermula dengan memberi penjelasan kepada pemegang saham Maika kenapa Maika tidak mengadakan AGM sejak dua tahun lepas. AGM merupakan mesyuarat yang sangat penting bagi pemegang saham.

"Pemegang saham Maika mengharapkan untuk diberitahu mengenai cara Maika dikendalikan. Ketika AGM Maika berlangsunglah pemegang saham dapat bertanya kepada pengarah soalan berhubung hal ehwal Maika," katanya.


No comments: