JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, July 26, 2009

Konvensyen suntik semangat baru


KUALA LUMPUR 25 Julai - Peserta-peserta Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2009 menyifatkan program tersebut menyuntik semangat baru kepada mereka untuk menjalani kehidupan sebagai muslim berilmu.

Mereka berkata, melalui konvensyen itu hubungan sesama saudara Muslim terjalin erat dan dapat berkongsi pengalaman sesama peserta.

Seorang peserta, Nor Hidayah Lim Abdullah, 55, berkata, penyertaannya dalam majlis dakwah itu dapat meningkatkan pengetahuannya mengenai Islam.

''Saya gembira dapat bertemu rakan-rakan saudara Muslim dari seluruh negara. Mereka tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu.

''Sebenarnya bukan mudah menjadi saudara Muslim. Kami perlu sentiasa tabah dan kuatkan iman untuk menjadi Muslim sejati," kata anak jati negeri Perak ini kepada Mingguan Malaysia.

Beliau yang memeluk Islam pada 1985 ialah salah seorang daripada 1,500 saudara Muslim yang menyertai konvensyen sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Konvensyen kali ke-2 ini dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz .

Seorang lagi peserta, Mohamad Firdaus Abdullah, 48, berkata, program itu perlu diteruskan bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi di setiap negeri.

''Masih ramai saudara-saudara Muslim yang memerlukan bimbingan. Program- program ilmuwan seperti ini perlu diteruskan seluruh pelosok tanah air.

''Saya bersyukur kerana berpeluang menjadi peserta . Ini kali pertama saya menyertai konvensyen ini," katanya yang menetap di Raub, Pahang dan memeluk Islam empat tahun lalu.

Bagi Abdul Sattar Abdullah, 58, dia berharap dapat menyertai lebih banyak seminar dan program dakwah pada masa akan datang untuk menambahkan ilmu agamanya.

''Saya harap lebih ramai saudara Muslim yang lain diberi peluang seperti ini," katanya yang menetap di Kuantan, Pahang.

Sementara itu, peserta-peserta konvensyen berpeluang menyertai program sampingan yang diadakan iaitu pertandingan mari mengaji, akademi bilal, kuiz dan pertandingan menulis khat.

Penceramah undangan yang membentangkan kertas kerja ialah Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ann Abdullah dengan tajuk Saudara Muslim: Menyusuri Status Serta Cabaran Membina Masa Depan.

Sementara itu, Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Mohd. Farid Ravi Abdullah membentangkan kertas kerja bertajuk Saudara Muslim dan Keharmonian Hidup Beragama.

Penceramah agama, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah merupakan moderator bagi konvensyen tersebut.

No comments: