JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, July 23, 2009

MENJELANG PILIHANRAYA SARAWAK : KENAIKAN GAS DAN ELEKTRIK DITANGGUH ???


Harga Gas Dikekalkan Sehingga Akhir 2009

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama)-- Kerajaan Rabu memutuskan untuk mengekalkan harga gas yang sedia ada iaitu RM10.70/MMBtu setelah mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Menurut kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri mengkaji cadangan dari Unit Perancang Ekonomi untuk menyemak semula harga gas bagi sektor elektrik.

Oleh itu, tarif elektrik yang sedang terpakai di Semenanjung Malaysia adalah kekal pada kadar purata 31.31 sen/kWj sehingga akhir 2009.

Tiada Keputusan Kenaikan Tarif Elektrik Dibuat Hari Ini, Kata Najib

PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tarif baharu elektrik akan dikaji dengan mendalam berikutan harga gas yang semakin meningkat.

"Tiada keputusan dibuat hari ini. Jadi segalanya masih status kuo," katanya.

Bercakap kepada pemberita di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan harga gas itu menyebabkan Petronas terpaksa menanggung subsidi dalam jumlah yang sangat besar setiap tahun.

Katanya kesemua peruntukan yang digunakan oleh Petronas untuk menampung subsidi tersebut seharusnya boleh disalurkan kepada kerajaan bagi membiayai pelbagai projek dan memenuhi keperluan rakyat.

"Harga gas semakin meningkat dan Petronas terpaksa mengeluarkan RM6.4 bilion setiap tahun. Wang itu boleh disalurkan kepada kerajaan untuk dibelanjakan ke atas pelbagai projek dan untuk rakyat, tapi ia perlu digunakan untuk pelbagai subsidi," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kenaikan baru tarif elektrik berikutan kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui bahawa kertas kerja mengenai kenaikan itu akan dibentangkan kepada kabinet pada Rabu.

Peter Chin pada 17 Julai lepas berkata keputusan mengenai tarif baru elektrik dijangka berkuat kuasa mulai bulan depan jika kertas kerja mengenainya diluluskan oleh kabinet pada Rabu.

Menurutnya, kenaikan itu yang melibatkan keseluruhan pengguna elektrik dalam negara termasuk pihak komersil dan pengguna biasa telah mendapat kelulusan daripada Majlis Ekonomi Negara.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh pula dilaporkan berkata kenaikan tarif elektrik hanya akan dilaksanakan sekiranya kerajaan menaikkan harga gas.

Kenaikan itu, menurut Che Khalib, adalah untuk menampung harga kos sekiranya harga bahan api itu meningkat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta agar tiada sebarang spekulasi dibuat mengenai perkara itu kerana segalanya masih dalam pertimbangan kerajaan.

"Saya tidak tahu..kami tidak tahu (kenaikan tarif elektrik). Jangan buat spekulasi apa-apa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib yang baru menyelesaikan lawatan kerja selama empat hari ke Arab Saudi berkata beliau telah mencadangkan supaya syarikat telekomunikasi Maxis disenaraikan semula di Bursa Malaysia.

Penyenaraian itu katanya akan meningkatkan kecairan di dalam pasaran dan menarik perhatian lebih ramai pelabur untuk melabur di dalam syarikat yang berpegangan kukuh.

"Mereka (pelabur) memiliki pegangan yang kukuh untuk melabur dalam syarikat yang ditadbir dan diurus dengan sistematik. Saya harap ia akan menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat," katanya.

Maxis dikeluarkan dari senarai Bursa Malaysia secara rasmi pada 25 Jun 2005 berikutan proses penswastaan syarikat telekomunikasi itu oleh Binariang GSM Sdn Bhd.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai desakan negara-negara Asean supaya Myanmar memberikan kerjasama yang lebih menyeluruh untuk negara itu segera melaksanakan proses demokrasi, Najib berkata Malaysia dan Myanmar masih berbincang mengenai perkara itu.

"Kita masih berunding dengan Myanmar agar pelaksanaan yang lebih serius dapat dilaksanakan," katanya.

Kuching Tuan Rumah Majlis Mesyuarat Raja-Raja Ke-218

KUCHING, 22 Julai (Bernama) -- Sarawak diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi Majlis Mesyuarat Raja-Raja Ke-218 yang akan berlangsung pada 29 dan 30 Julai di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) baru di Petra Jaya di sini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka menghadiri MMRR Ke-218 yang akan dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ini merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah kepada MMRR selepas kali pertama iaitu MMRR ke-116 tahun 1972 dan MMRR ke-157 pada tahun 1992 di Kuching," katanya kepada pemberita di sini Rabu. (kebetulan ke?)

Beliau berkata antara raja-raja Melayu ataupun wakil yang akan hadir ialah Sultan Kedah, Sultan Perak, Raja Perlis, Sultan Selangor, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Pemangku Raja Kelantan, Tunku Mahkota Johor, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu dan Tengku Besar Pahang selain empat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka.

Katanya, Mesyuarat Pra Majlis Raja-Raja akan berlangsung pada 28 Julai di tempat yang sama.

No comments: