JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, July 28, 2009

Perubahan DUN Sarawak sejajar ikon politik abad ke-21

KUCHING 27 Julai - Perubahan dan kesinambungan Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam tempoh 100 tahun kewujudannya menjadi bukti penerimaan model berparlimen di negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, sebagai dewan perundangan tertua di negara ini, DUN Sarawak perlu menjalani perubahan sejajar dengan ikon politik pada abad ke-21 dan selepas itu.

"Seperti juga di negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah, Sarawak mempunyai keperibadian politik, budaya politik dan tradisi politiknya sendiri dan evolusi berparlimennya telah jelas membuktikan interaksi budaya dan keharmonian erat di kalangan pelbagai kumpulan etnik di negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bangunan baru Dewan Undangan Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Sambil menyifatkan bangunan berharga RM300 juta itu sebagai satu mercu tanda terkini di Kuching yang tersergam indah di atas bukit dan menghadap Sungai Sarawak, katanya, Majlis Negeri pernah menyaksikan pemerintahan raja kulit putih, penaklukan Jepun, kerajaan koloni dan kemerdekaan Sarawak menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia.

"Kesinambungan terpelihara walaupun berlakunya perubahan terhadap Majlis Negeri seperti tempat, bangunan mesyuarat dan komposisi anggotanya," katanya.

Mesyuarat kali pertama DUN Sarawak yang ketika itu dikenali sebagai Majlis Umum diadakan di Bintulu pada 8 Sept 1867.

Menurut Abdul Taib, demokrasi di Sarawak sinonim dengan bangunan tersebut yang menjadi tempat perbahasan serta meluluskan dasar dan belanjawan negeri.

Katanya, sesuai dengan peredaran zaman, perubahan akan berlaku terhadap bangunan mesyuarat dan komposisi Ahli Majlis Negeri.

''Perubahan yang dialami dan kesinambungan dalam tempoh lebih 100 tahun itu menjadi bukti penerimaan model berparlimen di Sarawak," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Taib memberitahu, bangunan baru tersebut melambangkan kedaulatan kuasa rakyat dan wakil-wakil rakyat yang terpilih akan bersidang di tingkat lapan bangunan berkenaan.

Menurutnya, dewan perundangan itu dapat memuat 108 wakil rakyat walaupun jumlah keahlian hanya 71 orang ketika ini.

utusan

No comments: