JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, July 13, 2009

Mi kolok sigek


MI kolok lengkap dihidang dengan sup sapi atau sup ekor.
Mi kolok sigek! Ungkapan sedemikian kebiasaannya akan kita dengar sekiranya mengunjungi gerai- gerai dan kedai makan di sekitar bandar raya ini.

Sarawak yang terkenal dengan keunikan masyarakat yang mempunyai pelbagai adat dan kebudayaan juga kaya dengan pilihan makanan tempatan yang enak dan pelbagai.

Jika lapar, anda hanya perlu bertanya kepada mana-mana penduduk tempatan di mana anda boleh merasa makanan wajib Sarawak yang terkenal sehingga ke tanah Semenanjung.

Antara yang paling terkenal adalah mi kolok. Rasa unik dan cara penyediaannya yang ringkas membuatkan penggemar makanan itu tidak pernah jemu untuk menikmatinya.

Hampir semua gerai makanan di negeri ini ada menjual mi kolok dan tidak salah kalau dikatakan ia hanya terdapat di Sarawak.

Di sini, mi kolok dimakan untuk hidangan sarapan, makan tengah hari, makan malam ataupun makan lewat malam.

Mi kolok sentiasa digemari tidak kira waktu, bagaimanapun ia lebih popular dimakan sebagai sarapan pagi.

Seorang peniaga Mohd. Sobri Hasan, 45 berkata, mi kolok adalah sejenis hidangan mi telur yang tidak berkuah, kering atau basah namun ramai lebih menggemari mi kolok kering berbanding berkuah.

Kata peniaga yang berniaga di salah sebuah kedai makan di Kota Sentosa itu, cara penyediaan mi kolok amat mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit kerana ia tidak perlu digoreng atau direbus.

Mi kolok yang masih mentah, katanya, dicelur dengan air panas dan dicampur dengan ramuannya tersendiri iaitu sedikit kicap soya dan minyak bijan.

''Hirisan-hirisan daging lembu disertakan sekali bagi melengkapkan lagi hidangan tersebut.

''Kuah sup sapi yang dicampur dengan taugeh disediakan bersama hidangan mi kolok, sudah tentu bagi mengelakkan ada yang tercekik kerana ia adalah kering," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru- baru ini.

Mohd. Sobri memberitahu, mi kolok lebih enak lagi jika dimakan bersama sup ekor ataupun sup tendon.

Katanya, orang ramai yang pertama kali menikmati hidangan itu sudah pasti akan tercari-cari mi kolok sekiranya berkunjung lagi ke negeri ini.

Dia memberitahu, terdapat mi kolok yang dijual dengan tidak menggunakan hirisan daging, tetapi makanan laut iaitu sotong, udang dan bebola ikan.

''Untuk warna dan menjadikannya lebih menarik, daun sup dan bawang goreng ditabur di atasnya.

''Terpulang kepada kreativiti penjual dan selera pelanggan asalkan ia tidak lari dari konsep asal mi kolok iaitu menggunakan mi telur halus," tambahnya.

Di Kuching, banyak tempat yang boleh dikunjungi untuk mendapatkan mi kolok terbaik dan menjadi tumpuan ramai saban hari.

Jika ada yang bertanya, bagaimana cara paling sesuai untuk menikmati mi kolok, jawapannya adalah makan beramai-ramai di kawasan terbuka.

Namun, lebih nikmat dan sedap jika mi kolok di makan dengan menggunakan penyepit berbanding sudu dan garpu.

Lebih lengkap jika anda menikmatinya di gerai-gerai tepi jalan bersama hidangan air teh 'c' peng tiga lapis istimewa. Rasanya sukar untuk digambarkan.

Antara tempat paling popular menjual mi kolok adalah medan selera terbuka Benteng Satok dan pasar malam Kota Sentosa.

Mungkin ramai yang menggemari mi kolok kerana ia lain daripada lain dan keunikan rasanya tidak mungkin sama dengan hidangan mi lain.

Harganya juga sangat murah kerana ia tidak menggunakan banyak bahan.

Biarpun dijual di restoran dan hotel-hotel, harganya juga agak rendah iaitu sekitar RM2.50 sehingga RM4.50 bergantung kepada bahan yang digunakan.

Yang penting, mi kolok terkenal sebagai salah satu produk pelancongan negeri ini dan ia berjaya membawa lebih ramai pelancong asing untuk berkunjung ke sini.

Mi kolok juga boleh dinikmati dengan pelbagai jenis variasi iaitu mi kolok goreng, mi kolok rebus, mi kolok makanan laut dan mi kolok 'spesial'.

utusan

No comments: