Semasa Mesyuarat Agung Tahunan PNK Kunak yang berlangsung pada 02/05/2009 di Dewan Sri Kunak, ahli ada bertanyakan soalan berkenaan status semasa kedudukan penghutang-penghutang seperti yang terdapat pada laporan kewangan beraudit. Pengurus besar menjelaskan bahawa ada yang telah selesai dan ada yang belum. Laporan kewangan tersebut adalah berdasarkan kedudukan 5 bulan yang lepas iaitu 31 DEC 2008.
Namun demikian, soalan ke-2 amat mengejutkan apabila sejumlah RM38,239.70 yang disenaraikan di bawah nama Mohd Daud Bin Alueh dan berada di bahagian PENGHUTANG sub "pendahuluan" dibangkitkan. Kenapa wang PNK yang sedemikian banyak dilaporkan oleh Audit LKIM dalam bahagian penghutang dan yang amat menyedihkan di atas nama pengurus besar PNK Kunak sendiri.
Bagaimana pula dengan RM14,000.00 lebih yang disenaraikan di atas nama mantan pengerusi (Isnan Bin Maratihil) pada bahagian yang sama? Apakah maksud penyata kewangan ini? Adakah berlaku penyelewengan dan pecah amanah yang didalangi oleh kepimpinan PNK?
Sekiranya anda tidak mengetahui sistem perakaunan yang diamalkan oleh PNK Kunak dengan mendalam dan sekadar mengetahui maksud perkataan "PENGHUTANG" kemungkinan anda akan membuat kesimpulan bahawa penyelewengan ataupun pecah amanah berlaku. Menurut Pengurus Besar pendahuluan tersebut bukanlah beliau gunakan untuk kegunaan sendiri tetapi digunakan untuk aktiviti-aktiviti PNK seperti Pesta Sukan Laut dan lain-lain lagi. Dana tersebut tidaklah dikeluarkan sekali gus.
Untuk memudahkan pelaksanaan program-program PNK terutamanya perbelanjaan-perbelanjaan kecil, sejumlah wang dikeluarkan daripada bank dan direkodkan dibawah akaun penghutang sebelum diselesaikan iaitu setelah resit-resit pembelian diperolehi. Setelah itu, posting akan dibuat mengikut jenis-jenis perbelanjaan yang terlibat. Oleh kerana proses ini tidak sempat diselesaikan menjelang penutupan akaun, maka rekod dalam akaun penghutang kekal sedemikian.
Sistem ini sebenarnya samalah seperti penggunaan "petty cash" yang terpakai di mana-mana syarikat besar. Ia merupakan penyelesaian terhadap perbelanjaan-perbelanjaan kecil syarikat di mana pengawalan dan pemantauan transaksi kecil dilakukan. Dalam pada itu, PNK cuba mengaplikasikan sistem ini dengan menggunakan nama-nama perorangan dengan harapan ada "ownership" akan berlaku terhadap pelaksanaan sesuatu program.
Sejauh manakah keberkesanan sistem ini? Apakah pengurusan PNK cukup berdisiplin untuk melaksanakannya? Semua sistem yang diperkenalkan oleh orang-orang bijak pandai adalah untuk kebaikan kita sekiranya kita cukup berdisiplin mengamalkannya.
http://nelayankunak.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment