"Kami mengambil kayu yang dibuang dari kilang papan Kampung Kunak Jaya. Kami meminta izin daripada Ketua Kampung Kunak Jaya untuk membuat rumah di atas air. Kami sedar, kami tidak dialu-alukan di kampung ini. Kami tidak ada tempat lain untuk berlindung."
Isnaji adalah anggota masyarakat Pala'u yang pertama membina rumah atau lebih layak diistilahkan sebagai pondok di atas air di pantai kampung berkenaan sejak enam tahun lalu sebelum diikuti ketua keluarga yang lain.
Setakat ini, 40 rumah di atas air yang dibina di pantai Kampung Kunak Jaya menjelaskan mengenai ketidakmampuan mereka meneruskan kehidupan di dalam bot atau perahu akibat kekangan kewangan.
Bagaimanapun, ketika ditemui wakil Berita Harian, di kampung itu baru-baru ini, Isnaji jelas masih merindui kehidupan di dalam bot atau perahu yang sudah menjadi darah dagingnya dan anggota masyarakat Pala'u yang lain.
"Kalau ada duit, saya ingin membuat bot atau perahu. Saya terpaksa membina pondok di atas air kerana tidak boleh berpisah dengan laut. Saya pernah menumpang tidur di rumah kawan di darat tetapi tidak lena kerana saya tidak dapat mendengar ombak.
"Pernah orang kami sakit dan dirawat di Hospital Kunak. Walaupun sudah sembuh, dia tidak mampu berjalan kerana terlalu lemah. Kami terpaksa membawa air laut untuk mengelap badannya. Selepas dilap, dia segar semula," katanya.
Masyarakat Pala'u dikenali sebagai mereka yang menginap dalam bot atau perahu. Kebanyakan mereka ada di pesisir pantai di Pantai Timur Sabah seperti daerah ini, Semporna, Tawau dan Lahad Datu.
Masyarakat yang menggunakan bahasa Bajau itu tidak gemar memakan nasi, sebaliknya lebih gemar memakan ubi kayu yang digoreng atau ditumbuk, masing-masing dikenali sebagai 'tompek' dan 'putu.'
Seorang lagi peneroka awal penempatan itu, Basah Sana, 60, menjelaskan beliau tetap berazam untuk memiliki bot atau perahu sendiri selepas bot tempat beliau dan isteri serta lima anaknya berlindung, terpaksa dibiarkan begitu saja akibat sudah terlalu uzur sejak enam tahun lalu.
"Kami tahu, penduduk kampung ini tidak begitu menerima kami tetapi apa yang kami boleh buat? Kami tidak boleh mendapatkan pekerjaan di darat kerana tiada MyKad," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kunak Jaya, Baharun Kiang, berkata penduduk kampung berharap Kerajaan mampu mengambil langkah memindahkan anggota masyarakat Pala'u dari pinggir pantai kampung itu.
"Setakat ini mereka tidak menimbulkan kekacauan tetapi kami tetap berharap mereka dipindahkan ke kawasan lain," katanya. bharian
No comments:
Post a Comment