JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, July 13, 2009

RASUAH PUNCA SUNGAI SEGAMA TERCEMAR?



RASUAH mungkin punca utama kenapa kilang kelapa sawit terus membuang sisa kumbahan terus ke sungai Segama yang begitu tercemar oleh effluen daripada kolam takungan beberapa kilang yang terletak di sepanjang Sungai Segama menyebabkan penduduk mengadu kepada Sabahkini setelah semua usaha dan aduan mereka selama ini gagal mendapat perhatian.

Krew Sabahkini yang bergegas ke lokasi kejadian sehari selepas kilang berkenaan melepaskan begitu banyak kumbahan melalui parit kecil sebelum mengalir ke Sungai Segama yang menjadi punca air minuman penduduk Lahad Datu air Sungai Segama yang keruh bertukar menjadi hitam.

"Banyak ikan mati. Kami takut makan kerana bimbang keracunan. Kami telah mengadu kepada alam sekitar dan pegawai daerah, tapi tidak ada sebarang tindakan diambil," ujar Abdullah Bin Rafael kepada krew Sabahkini sambil menunjukkan beberapa gambar yang sempat dirakam melalui telefon bimbit.

ABDULLAH (Kiri) dan Amen (kanan)

Menurut Abdullah, beliau kesal kerana tidak lagi dapat menangkap ikan sejak sepuluh tahun lalu kerana sungai Segama benar-benar tercemar dan sebagai belia yang selama ini bergantung kepada sungai untuk meneruskan kehidupan terpaksa mencari pekerjaan lain seperti buruh kasar di bengkel berdekatan.

"Dulu kami boleh dapat juga simpan sedikit pendapatan daripada menangkap ikan dan udang di sungai ini, tetapi sekarang semua ikan sudah mati melainkan ikan keli sahaja yang bertahan," ujar Abdullah yang kesal kerana sistem penyampaian kerajaan begitu mundur dan gagal mengambil tindakan segera.

Kata Abdullah, beliau tidak tahu siapa sebenarnya yang bertanggung jawab terhadap alam sekitar kerana Jabatan Alam Sekitar bagaikan Jabatan VIP yang beribu pejabat di Kota Kinabalu dan tidak mempunyai sebarang pejabat di Lahad Datu.

Mereka ini macam VIP mau dijemput baru datang. Mereka patut pantau semua kilang dan tanya penduduk kampung. Orang utan pun boleh nampak sisa minyak di tebing sungai, apa lagi pegawai. Lainlah kalau mereka pakai kacama mata hitam," ujar Abdullah yang menaruh harapan agar Ahli Parlimen Silam dapat membantu mereka kerana Adun Lahad Datu enggan membantu mereka mengatasi masalah yang sudah berpuluh tahun ini.

Manakala Mohd Nassaruddin Noor Hakim pula mempersoalkan bagaimana Jabatan Alam sekitar meluluskan Laporan Impak Alam Sekitar dan membenarkan Tamaco mendirikan kilang dan membuang sisa kumbahan ke anak sungai sehingga mencemarkan Sunagi Segama.

"Bukankah EIA yang disediakan berdasarkan pemeriksaan yang rapi dan selepas diluluskan Jabatan Alam Sekitar wajar melakukan pemeriksaan rutin dan bukan hanya menerima laporan daripada kilang tersebut tanpa sebarang pemeriksaan," ujar Nassaruddin lagi yang berang dengan sikap tidak prihatin pemilik kilang tersebut.


PARIT.....Nasaruddin menunjukkan anak sungai yang dijadikan saliran untuk membuang sisa kumbahan kilang ke Sungai Segama tanpa sebarang pemantauan.


Dengan hanya beberapa kolam takungan yang tidak diselenggara dengan baik, adalah tidak munasabah jika Jabatan Alam Sekitar tidak melakukan pemantauan sejak kilang tersebut dibina pada 1991 dan menjadikan penduduk Kampung Segama sebagai mangsa pembuangan sisa kumbahan kilang yang berbau dan bertoksik.

"Memang ada sesuatu yang tidak kena apabila banyak pihak berkuasa yang datang periksa tetapi keluar dari pejabat kilang dengan senyuman dan sejak daripada itu tidak ada sebarang tindakan diambil," ujar Nassaruddin yang jengkel dengan sikap pegawai kerajaan yang pecah amanah dan mengamalkan rasuah.

Seorang lagi penduduk kampung yang tinggal berdekatan dengan anak sungai yang mengalir terus ke Sungai Segama, Amen Kadir, pula mengesahkan bahawa setiap bulan kilang berkenaan akan membuang sisa kumbahan yang terlalu busuk dan meloyakan sehingga menusuk hidung sebanyak tiga kali terutama ketika hujang lebat atau panas terik.



MINYAK.... Minyak ditebing sungai ini membuktikan dakwaan penduduk kampung benar namun gagal dilihat oleh pegawai penguatkuasa kerana matanya tertutup oleh gambar Agong!

"Tidak boleh cakaplah macam mana busuknya. Terlalu busuk sampai saya pernah muntah kerana tidak tahan dengan bau air yang dibuat daripada kilang. Kalau panas lagi jangan cakaplah. sampai dua batu baunya dibawa angin," ujar Amen yang telah menetap di Lituk Pulau sejak lima belas tahun lalu.

Kata Amen, banyak ikan mati yang menyebabkan anak sungai semakin berbau busuk apabila ikan tersebut buruk sehingga menyebabkan banyak lalat

"Saya merayulah kepada taukey kilang Tamaco agar kesian kepada kami. Kami tidak larang kalau mau buat untung, tapi bertanggung jawablah menjaga alam sekitar kerana kesannya kami yang tanggung," rayu Amen yang terpaksa menutup tingkap rumah kerana tidak tahan dengan bau busuk ketika sisa kumbahan dilepaskan daripada kilang terbabit.



CEMAR.... Bukti pencemaran masih kelihatan namun Jabatan Alam Sekitar tidak pandai datang-datang? Ancari sedang menerangkan senario sebenarnya yang berlaku di lokasi.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Sapadulang, Ancari Tumbyl, ketika ditemui mengesahkan pihaknya telah beberapa kali membuat laporan kepada pigak berkuasa, namun tindakan lambat mereka menyebabkan bukti pencemaran hilang bersama arus deras ketika banjir.

"Saya ada rakam gambar video melalui telefon bimbit saya. Cuba lihat ini. Tengok airnya begitu hitam dan berminyak sehingga banyak ikan timbul tenggelam dan mati. Baunya sangat meloyakkan sehingga kami mau makanpun susah," ujar Ancari yang menyerahkan bukti kepada Sabahkini.net yang akan diupload ke Youtube dalam masa yang terdekat.



MATI.... Ikan mati akibat pencemaran di Sungai Segama masih terdampar di tebing sungai selepas banjir.

Menurut Ancari, beliau sudah muak dan jelak dengan sikap pegaeai kerajaan yang datang membuat pemantauan dan jika perkara ini berterusan, beliau akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana percaya ianya ada kaitan dengan suapan yang dilakukan oleh pihak tertentu sehingga masalah pencemaran sungai ini mengambil masa yang terlalu lama untuk di atasi.

"Sebagai Pengerusi JKKK, saya ditempelak penduduk kampung kerana gagal mengheret 'penjenayah alam sekitar' ini ke muka pengadilan. Siapalah saya jika mereka yang diberikuasa menurut undang-undang pun tidak melakukan apa-apa," ujar Ancari yang tidak pernah gagal menghantar laporan bulanan berhubung perkembangan pencemaran Sungai Segama.

Ansari berkata, beliau bimbang isu ini akan dimanipulasi oleh pembangkang yang mula meracuni fikiran rakyat dengan mengatakan jika sokong pembangkang masalah pencemaran akan diatasi dengan mudah kerana semua NGO bersama mereka.

"Apa yang pembangkang boleh buat selain jadi penyibuk? Saya masih percaya kerajaan mempunyai mekanisme untuk mengatasi masalah ini, Oleh itu saya tidak jemu-jemu melakukan pemeriksaan dan pemantauan mengikut kemampuan dan kuasa yang diamanahkan kepada saya," kata Ancari yang sedia memberi kerjasama kepada semua pihak bagi mengatasi masalah yang berlarutan lebih daripada dua dekad.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Malaysia bagi P188 Silam, Haji Salleh Haji Kalbi ketika dihubungi sedang berkempen di Manek Urai, Kelantan mengesahkan beliau akan menjalankan pemeriksaan lapangan bersama Jabatan Alam Sekitar, SPRM, Pejabat Daerah, MPOB dan sebagainya untuk meninjau masalah yang hanya dilaporkan kepada beliau melalui sabahkini,net.

"Sewajarnya perkara ini dimaklumkan kepada saya bila berlaku pencemaran supaya saya dapat melihat sendiri dan mengambil tindakan sewajarnya. Kawasan yang saya wakili teramat luas. Lebih kurang negeri Perak. Jadi jika berlaku sebarang pencemaran, terus hubungi saya melalui telefon atau email," ujar Salleh yang kesal kerana pihak berkuasa lambat mengambil tindakan dan meremehkan aduan rakyat.

Tegas Salleh, pihaknya dalam rangka lawatan ke beberapa sungai yang mempunyai kilang sawit untuk menasihati kilang berkenaan agar tidak membuang sisa kimbahan ke sungai dan tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan perintah mahkamah menutup bukan sahaja kilang sawit malah semua industri yang mencemarkan alam sekitar.

"Masa untuk berlembut dengan pencemar alam sekitar sudah berakhir dan saya sendiri akan memantau dan menubuhkan jawatankuasa pemantauan di setiap daerah bagi membasmi kegiatan pembuangan sisa toksik dan penggunaan tuba atau racun serangga di setiap punca air termasuk sungai dan tasik," ujar Salleh yang akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Perikanan Daerah berhubung aduan kematian ribuan ikan di sungai berkenaan.



TAKUNGAN.... Kilang berkenaan mengalirkan air kumbahan terus ke sungai tanpa melalui proses rawatan.

Dalam pada itu, siasatan Sabahkini.net mendapati kilang yang disyaki melepaskan sisa kumbahan kilang ialah Kilang Tamaco Oil Mill Sdn.Bhd, yang terletak di CL 115360891, kilometer 3/23, Jalan Jeroco Lahad Datu, Sabah pernah didakwa di mahkamah.

Namun kes yang telah disebut pada 26 Februari 2007 di Mahkamah Tinggi Sandakan di Hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sandakan, Tuan Haji Alwi Abdul Wahab melalui kes bernombor 63/03/07 atas tuduhan di bawah Seksyen 18 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling belum dibicarakan lagi sejak dari tarikh sebutan. Siasatan mendapati belum ada tarikh baru untuk sebutan semula kes berkenaan setelah tertunda beberapa kali.

Sebelum ini, pada 21 Januari 2006, Jabatan Hidupan Liar yang kebetulan melakukan pemeriksaan lapangan di sungai Segama mendapati ribuan ekor ikan pelbagai jenis mati terapung. Jabatan Perikanan dengan Jabatan Alam Sekitar yang menyiasat punca kematian ribuan ekor ikan di sungai Segama yang dipercayai akibat efluen yang mengandungi toksik daripada kilang sawit yang berdekatan.

Menurut Pegawai Perikanan Daerah Lahad Datu, Talip Hasan, pencemaran berkenaan telah menyebabkan kematian ikan patin sungai, baung, lampam jawa, limpata, ketutu, tapah, belian dan pelbagai jenis ikan yang tidak boleh hidup dikualiti air yang tercemar berbanding Kanai yang agak tahan lasak.

Talip menyatakan pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk penggunaan tuba dan racun serangga di ulu sungai dan limpahan daripada kolam takungan enapan ketika hujan lebat daripada kilang sawit yang berdekatan.

Memandangkan sungai merupakan sumber air mentah utama iaitu 97 peratus kerana mengikut rekod, sungai membekalkan sebanyak 7,000 juta liter sehari dan dijangka akan meningkat kepada lebih 16,000 juta liter sehari menjelang 2050, namun Isu yang seringkali berbangkit berkaitan sumber air ialah pencemaran sungai kerana kurang separuh daripada 146 sungai di seluruh negara dikategorikan sebagai bersih, manakala 15 lagi tercemar teruk dan sembilan dikategorikan sebagai sungai mati.

Pencemaran sungai bermaksud suatu perubahan tidak sesuai yang berlaku di persekitaran melalui perubahan salah satu atau komposisi-komposisi kimia, biologikal dan fizikal sehingga menimbulkan masalah kepada komponen-komponen alam sekitar di dalam sesuatu ekosistem.

Pencemaran air dilihat sebagai penambahan benda asing yang tidak diperlukan menyebabkan kemerosotan kualiti air. Justeru, kebanyakan bekalan air minuman berpunca daripada air hujan yang turun dikawasan tadahan air iaitu kawasan hutan primer atau sekunder yang menadah air seterusnya dikumpulkan di dalam tasik atau empangan atau sungai.

Di Malaysia, air dikatakan tercemar apabila ia mempunyai nilai kualiti paras lll seperti yang dicadangkan dalam Laporan ”Water Criteria and Quality Standard For Malaysia (Vol. 1-V)” yang telah dihasilkan oleh Consultant Group on Water Quality, Institute of Advanced Studies University of Malaya Kuala Lumpur berdasarkan penunjuk kualiti air iaitu Parameter Oksigen Biokimia (BOD), Parameter Oksigen Kimia (COD), Oksigen Terlarut (DO), Nitrogen Ammonia (NH3-N), dan Pepejal Terampai (SS) dan PH.

Dalam pada itu, siasatan Sabahkini.net mendapati kilang sawit berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 1987, yang dibuat di bawah peruntukan subseksyen 34A(2) Akta 127, menetapkan 19 kategori yang memerlukan penyediaan EIA.

Subseksyen 34A(1) Akta 127 memberi kuasa kepada Menteri Alam Sekitar, selepas berunding dengan Majlis Kualiti Alam Sekeliling, untuk menetapkan apa-apa aktiviti yang mungkin mempunyai kesan kepada alam sekeliling, sebagai aktiviti yang ditetapkan, dan perlu dikawal bagi tujuan perlindungan alam sekitar

Menurut Akta tersebut, Tiada seorang pun boleh melakukan perkara-perkara berikut tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar;

(a) Melupuskan apa-apa buangan terjadual di darat atau ke dalam perairan Malaysia;
(b) menerima atau menghantar, atau menyebabkan atau membenarkan diterima atau dihantar apa-apa buangan terjadual di dalam atau di luar Malaysia; atau
(c) mentransit atau menyebabkan atau membenarkan ditransit buangan terjadual.

Ketua Pengarah boleh memberikan kelulusan bertulis sama ada tertakluk kepada syarat atau tidak bersyarat.

Sehubungan itu, apa-apa tindakan menerima atau menghantar, atau mentransit apa-apa buangan terjadual dengan kelulusan yang diperolehi melalui pemalsuan, salah nyataan atau fraud atau yang tidak mematuhi dengan cara yang material dengan dokumen yang releven dalam borang yang ditetapkan adalah suatu kesalahan.

Sesiapa yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM500 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

sabahkini

No comments: