KUCHING: Air Terjun Baan Gong yang terletak di Kampung Sikog kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuching bukannya destinasi pelancongan yang asing bagi penduduk sekitar.
Namun hanya ungkapan sayang sungguh sayang yang mampu diluahkan apabila melihat keadaan persekitaran air terjun berkenaan.
Apa tidaknya kawasan yang begitu kaya dengan flora dan fauna serta memiliki air terjun yang cantik, jernih dan dingin bagaikan terbiar begitu sahaja.
Keindahan air terjun dan alam semula jadi yang ada di situ bagaikan hilang kesempurnaannya dengan kemudahan asas seperti tandas, tempat persalinan, pondok rehat dan sebagainya terbiar serta usang dimamah usia.
Pondok rehat yang dulunya terbina indah dengan reka bentuk seperti bumbung Dewan Suarah Kuching, kini hanya tinggal rangka dan hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi.
Tandas awam dan bilik persalinannya pula sudah tidak dapat digunakan lagi kerana rosak sama sekali akibat kegiatan laku musnah.
Tidak mustahil ia dilakukan oleh golongan tidak bertanggungjawab yang mencuri sinki dan peralatan lain di situ.
Sedih memang sedih apabila melihat kemudahan yang begitu baik disediakan sebelum ini disia-siakan begitu sahaja.
Situasi itu menyebabkan ramai pihak terutama yang sebelum ini menjadikan air terjun berkenaan destinasi perkelahan rutin mereka menuding jari kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kerana menyangka pihak berkuasa tempatan (PBT) itu seperti lepas tangan dalam menjaga tempat berkenaan.
Tidak kurang yang mahu perkara itu disiarkan oleh media agar mendapat perhatian daripada pihak tertentu supaya tempat itu dapat ‘diceriakan’ kembali seperti sebelum ini.
Bagi mengetahui perkara sebenar, Utusan Borneo menghubungi MPP.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Landskap dan Pelancongan MPP Edward Kurik pusat peranginan mini tersebut tidak lagi berada di bawah seliaan PBT itu sebaliknya di bawah tanggungjawab pemilik tanah sendiri.
“Memang diakui ramai orang menyalahkan MPP kerana membiarkan kemudahan awam di situ tanpa penyelenggaraan tetapi mereka tidak tahu perkara sebenar.
“Sebenarnya, kawasan air terjun berkenaan tidak lagi di bawah bidang kuasa MPP atas kehendak pemilik tanah dan disebabkan masalah tertentu MPP menyerahkan kawasan berkenaan termasuk kemudahan awam di situ kepada pemilik tanah… maknanya MPP sudah tidak ada kuasa lagi.
“Saya berharap dengan penjelasan ini tiada pihak akan menuding jari kepada MPP lagi,” tambahnya.
Beliau dalam pada itu mengakui air terjun berkenaan sememangnya berpontensi diketengahkan sebagai destinasi pelancongan atau riadah seperti tempat lain jika diselenggara dengan baik.
Pengunjung yang datang ke situ katanya bukan sahaja boleh bermandi-manda tetapi melakukan aktiviti lasak seperti pengembaraan hutan kerana untuk sampai ke air terjun pengunjung perlu berjalan kaki melalui denai dan hutan belukar serta menyeberangi beberapa batang anak sungai.
Semuanya begitu menye-ronokkan apabila setelah penat berjalan, anda akan menyaksikan pemandangan air terjun yang begitu indah.
Seorang remaja dari kampung berhampiran dan hanya ingin dikenali sebagai Iwan, 21 yang kebetulan datang ke Air Terjun Baan Gong bersama sepupu lelakinya memberitahu memang kemudahan awam di situ sudah lama tidak diselenggara.
“Memang inilah keadaan kemudahan awam di sini, terbiar, rosak dan tidak dapat digunakan.
“Saya lihat dah lama dah macam ini…kami jarang datang, setahun sekali adalah. “Lainlah dulu, 10 tahun lalu, tempat ini memang destinasi melepaskan ‘tension’ setiap hujung minggu,” kata pelajar IPTA itu.
Kenyataan Iwan itu memang benar kerana ketika kami tiba di situ tiada seorangpun pengunjung lain, mungkin kerana hari Sabtu.
Sementara itu seorang penduduk kampung yang ditemui dan enggan namanya disiarkan juga memberitahu dia tidak begitu pasti dengan status pemilikan kawasan berkenaan dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Bagaimanapun katanya, kawasan persekitaran air terjun terutama berdekatan tandas awam sering ditebas oleh orang tertentu, mungkin pemilik tanah berkenaan.
“Saya tengok memang ada orang menebas rumput di situ…mungkin pemilik kawasan berkenaan.
“Namun untuk membaik pulih kemudahan yang ada di situ mungkin perlukan banyak wang.
“Apapun kita berharap suatu hari nanti kawasan ini akan kembali ‘meriah’ seperti dulu,” katanya.
borneopost
No comments:
Post a Comment