JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, July 15, 2009

Masyarakat Pala'u tersisih


MASYARAKAT Pala'u yang membina penempatan di atas air memerlukan bimbingan agama secara formal. - Foto Hassan Omar

Bina penempatan guna sisa kayu, kurang bimbingan agama

KUNAK: Masyarakat Islam dan agensi berkaitan agama di Sabah dirayu segera membantu usaha dakwah untuk masyarakat Pala'u atau Bajau Laut yang membina penempatan di beberapa kawasan di sini sejak beberapa tahun lalu.

Ini kerana sejak mereka dibawa memeluk Islam oleh Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) beberapa tahun lalu, tiada dakwah susulan bagi memperkukuh agama mereka, menyebabkan ada antara mereka didakwa kembali pagan, iaitu tidak mempunyai sebarang agama.

Tinjauan Berita Harian di penempatan masyarakat itu di Kampung Jeti, di sini semalam mendapati kira-kira 1,000 anggota masyarakat berkenaan hidup serba kekurangan selepas membina penempatan di atas air dan mendakwa tidak menerima bimbingan agama daripada mana-mana agensi berkaitan agama.


Seorang ahli Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Simah Zainal Gunong, mendakwa beliau mencuba mendapatkan bantuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHAEINS) bagi membantu usaha berkenaan, tetapi masih belum ada tindakan.

Beliau dan kakaknya, Maimunah yang sering membantu masyarakat terbabit dari aspek pemahaman mengenai Islam dan aspek sosial seperti membantu membawa anak mereka ke hospital, mendakwa setakat ini belum ada agensi sanggup berkorban untuk memperkukuh agama masyarakat itu.

SIMAH (dua dari kiri) dan Maimunah berbincang dengan Amir (tiga dari kiri) dan seorang anggota masyarakat Pala'u di Kampung Jeti, Kunak, Sabah, baru-baru ini.

"Saya sudah memohon secara formal kepada JHAEINS untuk menyediakan tenaga pengajar khusus untuk masyarakat Pala'u tetapi belum ada tindakan lanjut.

"Saya bimbang mereka akan kembali pagan jika tidak dibimbing. Tugas mengajar agama tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak selain mereka yang diberi tauliah oleh JHAEINS," katanya.

Masyarakat Pala'u adalah mereka yang menginap dalam bot atau perahu. Kebanyakan mereka ada di pesisir pantai di Pantai Timur Sabah seperti daerah ini, Semporna, Tawau dan Lahad Datu.

Mereka menyara hidup dengan menangkap ikan dan sering berpindah-randah bergantung kepada tempat mereka menjual hasil laut. Selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dianggap sebagai `orang tidak ada negara,' kebanyakan mereka tidak fasih berbahasa Melayu.

Masyarakat yang menggunakan bahasa Bajau itu tidak gemar makan nasi, sebaliknya lebih gemar makan ubi kayu yang digoreng atau ditumbuk, masing-masing dikenali sebagai 'tompek' dan 'putu.'

Bagaimanapun, sejajar perubahan zaman, kebanyakan masyarakat Pala'u di daerah ini, Semporna, Lahad Datu dan Tawau sudah membina penempatan di atas air dan tidak lagi hidup secara nomad tetapi masih meneruskan tradisi sebagai nelayan yang diwarisi nenek moyang mereka.

Sementara itu, Imam di kampung berkenaan, Amir Salleh Uturani, 65, berkata beliau dan anak buahnya membina penempatan dengan mengambil papan dan kayu yang sudah dibuang di sebuah kilang papan berhampiran.

"Kami tidak mampu membaiki bot dan perahu kerana tiada wang. Jadi, kami kutip kayu yang dibuang untuk buat rumah. Tidak ada bekalan air dan tenaga elektrik. Kalau dapat ikan, kami jual di pekan Kunak," katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu pihak bertanggungjawab membantu memperkukuh Islam anggota masyarakat berkenaan dengan menyediakan kelas pengajian dua kali seminggu.

bharian

No comments: