|
|
Penduduk rumah panjang itu mendakwa, pencemaran sungai tersebut dipercayai berpunca daripada sebuah syarikat yang menebang dan membersihkan hutan di hulu sungai untuk tujuan membuka ladang kelapa sawit.
Ketua Rumah Panjang, Dok Kiai berkata, masalah pencemaran di sungai itu yang berlaku sejak Mac tahun ini menyebabkan penduduk rumah panjang ‘hilang punca’ kerana sungai itulah satu-satunya sumber air yang mereka ada untuk keperluan harian seperti minuman dan mencuci pakaian.
‘‘Tahun lepas, air sungai tersebut jernih dan kami tiada masalah untuk meminumnya. Kini jangankan minum, mandi pun kami tidak berani kerana boleh menyebabkan rambut keras dan kulit gatal-gatal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah panjang tersebut baru-baru ini.
Beliau menambah, kegiatan membersihkan hutan itu menyebabkan air sungai yang dulu jernih kini bertukar warna keruh seperti warna air teh susu.
‘‘Mana tidak, sisa-sisa kayu dan hakisan tanah masuk ke dalam sungai menyebabkan air sungai bertukar warna dan kotor,” katanya.
Kiai yang sudah menetap di situ lebih 30 tahun meminta kerajaan agar berbincang dengan syarikat tersebut untuk menghentikan pencemaran dan mengambil kira nasib penduduk kampung yang terpaksa meminum ‘air teh susu’ itu setiap hari.
Sandang Dagus, 43, berkata, pencemaran air sungai itu bukan sahaja menyukarkan penduduk kampung melakukan kegiatan rutin tetapi merbahayakan kesihatan kanak-kanak dan bayi yang meminum air sungai tersebut.
‘‘Sekarang mereka baru tebang dan bersihkan hutan, air sungai sudah bertukar warna dan tidak selamat digunakan. Bayangkan jika mereka mula menanam kelapa sawit, mungkin akan lebih banyak lagi pencemaran boleh berlaku,” katanya yang kesal dengan kejadian itu.
Memburukkan lagi keadaan ialah apabila berlakunya musim kemarau yang menyebabkan penduduk rumah panjang tiada pilihan selain menggunakan air dari sungai tersebut walaupun sudah tahu bahaya yang menunggu, kata beliau.
‘‘Dulu kalau musim kemarau, kami boleh mengepam air dari sungai itu bagi menambah bekalan air hujan yang ditadah. Sekarang kami tidak tahu di mana lagi untuk mendapatkan air memandangkan hari sudah lama tidak hujan,” tambahnya. utusan
No comments:
Post a Comment