Universiti Malaysia Sabah (UMS) bercadang mengharamkan penggunaan bekas makanan daripada polisterin di kampusnya, sejajar usaha mengurangkan penggunaan bahan berasaskan plastik untuk memelihara alam sekitar.
Jika dilaksanakan, larangan itu akan membabitkan semua peniaga kantin di kampus UMS yang selama ini menggunakan bahan berkenaan sebagai bekas mengisi makanan.
"Langkah tidak membenarkan penggunaan bekas plastik di kalangan peniaga kantin di universiti ini bertujuan memastikan UMS bukan saja sebagai pusat kecemerlangan ilmu tetapi sebuah kampus yang indah, bersih dan ceria.
"Ia bagi memastikan status UMS sebagai universiti yang memiliki persekitaran cantik dan ceria dapat dikekalkan dan terus menjadi kebanggaan masyarakat, khususnya penduduk di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan UMS Bersama Naib Canselor di kampus induk UMS di sini, kelmarin.
Hadir sama Pendaftar UMS yang juga Pengerusi majlis perhimpunan kali pertama itu, Abdullah Mohd Said.
Prof Kamaruzaman berkata, UMS memberi perhatian serius terhadap kepentingan aspek kebersihan kerana ia berkait rapat dengan usaha meningkatkan tahap kecemerlangan universiti.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, UMS turut meningkatkan kempen kesedaran mengenai penularan virus Influenza A (H1N1) di kalangan warga kampusnya dengan Sekolah Perubatannya dilantik sebagai penyelaras kempen.
Katanya, kempen itu turut merangkumi penjelasan mengenai aspek penjagaan kebersihan diri dan persekitaran bagi mengurangkan risiko dijangkiti virus berbahaya itu.
"Kita serius melaksanakan pendekatan itu bagi memastikan kampus UMS bebas daripada ancaman virus berkenaan berikutan peningkatan kes individu yang dikesan dijangkiti H1N1 di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.
"Saya sudah meminta Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS meningkatkan kempen kebersihan bagi memastikan warga kampus sentiasa peka dengan penjagaan kebersihan diri, tempat tinggal dan tempat belajar mereka.
"Bagi memastikan kami serius dalam perkara ini, Sekolah Perubatan UMS akan bertindak sebagai penyelaras bersama kempen untuk memerangi ancaman penularan virus H1N1 di peringkat UMS," katanya.
Prof Kamaruzaman berkata, warga UMS perlu peka terhadap perkembangan H1N1 kerana ia adalah wabak berbahaya dan boleh merebak dengan cepat jika tidak ditangani dengan betul.
"Setiap saat kita terdedah kepada ancaman wabak ini iaitu selagi kita keluar rumah untuk bekerja, membeli-belah dan melakukan aktiviti lain. Bagaimanapun, kita boleh mengurangkan risiko dijangkiti jika mengamalkan kaedah penjagaan kebersihan yang betul," katanya.
bharian
No comments:
Post a Comment