JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, July 11, 2009

Permohonan Daftar Kelahiran, Kewarganegaraan


Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyegerakan dan mempertimbangkan semua permohonan kewarganegaraan Malaysia, permit masuk (PR) dan pendaftaran kelahiran dengan cara paling cepat dan berhemah, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Sabtu ini.

Bagi permohonan kewarganegaraan, katanya KDN mensasarkan semua permohonan itu dapat diputuskan pada penghujung tahun ini.

"Kita akan meluluskan semua permohonan yang ada jika ia menepati kriteria yang telah ditetapkan agar pemohon ini boleh menyumbang kepada proses pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas 11 pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, yang antara lain melibatkan langkah bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah, serta mempermudahkan permohonan pendaftaran kelahiran di Sabah dan Sarawak.

Hishammuddin berkata sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 14,443 permohonan kewarganegaraan Malaysia telah selesai dibuat keputusan manakala 18,484 permohonan lagi masih tertangguh.

Beliau berkata KDN juga akan menyegerakan permohonan pendaftaran lewat kelahiran bagi membolehkan kanak-kanak yang terlibat mendapat haknya daripada segi menggunakan kemudahan sedia ada termasuk pendidikan.

"Bagi saya, adalah sesuatu yang tidak adil apabila kanak-kanak ini tercicir daripada arus pendidikan perdana semata-mata disebabkan kerenah birokrasi dan prosedur yang pelbagai.

"Saya sendiri akan memastikan mereka yang layak tidak dipinggirkan sebaliknya mendapat hak yang sepatutnya," katanya sambil berkata sebanyak 35,012 daripada 37,783 permohonan, yang diterima antara 2005 dan Jun 2009, telah diluluskan manakala 2,696 sedang diproses dan 75 lagi ditolak.

Bagi Sabah pula, sebanyak 33,505 permohonan daripada 36,534 yang diterima dalam tempoh yang sama telah diluluskan manakala 2,870 sedang diproses dan 159 lagi ditolak.

Hishammuddin berkata dalam menyegerakan permohonan permit masuk bagi membolehkan mereka mendapat taraf Penduduk Tetap (PR), Jabatan Imigresen akan menimbang permohonan PR berdasarkan mengikut kategori yang memerlukan pemohon melepasi tiga syarat utama iaitu isteri asing warganegara Malaysia yang tinggal secara berterusan selama lima tahun atau lebih di negara ini atas Pas Lawatan (Sosial) atau lain-lain Pas yang dibenarkan.

Selain itu, ia turut melibatkan permohonan anak-anak warganegara Malaysia berumur 6 tahun dan ke bawah, serta suami atau isteri dan anak-anak warganegara Malaysia yang mempunyai kelayakan dan kepakaran yang kini bekerja di luar negara dan bercadang pulang dan bekerja di Malaysia.

Menurutnya dari 2001 hingga 2008, sebanyak 19,728 daripada 34,523 permohonan PR diluluskan manakala 5,299 sedang diproses dan 9,496 ditolak.

Bagi rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, beliau berkata 2,333 diluluskan daripada 9,468 rayuan yang diterima manakala 3,765 sedang diproses dan 3,370 ditolak.

Hishammuddin berkata KDN juga akan mempergiatkan usaha menangani jenayah di seluruh negara dengan tumpuan diberikan kepada jenayah ragut kerana ia mengakibatkan trauma yang tinggi serta memberi kesan berpanjangan kepada mangsa, keluarga mangsa dan masyarakat.

Sambil memberi jaminan usaha menangani jenayah lain tidak dipinggirkan, beliau meminta kerjasama rakyat membantu pihak berkuasa mengatasi masalah itu dengan menyalurkan maklumat dan maklum balas jenayah kepada portal iKDN di www.ikdn.org. atau www.ikdn.gov.my serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 019-3888993.

Beliau juga berkata selaras dengan hasrat 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", KDN akan menilai semula undang-undang dan akta-akta sedia ada termasuk yang melibatkan pencegahan dan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) agar pelaksanaan dan penguatkuasaannya sentiasa mengutamakan kepentingan dan aspirasi rakyat.

"KDN sudahpun menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang dan akta-akta ini selain menilai undang-undang dan akta-akta sedia ada, sama ada ia mengikut tanda aras antarabangsa.

"KDN juga akan melihat beberapa perkara termasuk daripada segi tempoh penahanan, penambahbaikan sistem `sekatan dan seimbang' serta maklum balas pihak berkepentingan seperti Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) dan Badan Peguam Malaysia," katanya.

Mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Hishammuddin berkata KDN akan memperkemaskan KPI di semua peringkat supaya selari dengan hasrat yang terkandung dalam Bidang Keputusan Utama (KRA) nasional.

Selain itu, katanya KDN akan terus memberi penekanan kepada dua pendekatan yang ditetapkan di peringkat kementerian bagi membolehkan KDN menjalankan fungsi dan peranannya dengan baik iaitu tegas, berani dan tanpa kompromi, serta pendekatan lebih mesra dan berorientasikan rakyat.

Pada peringkat permulaan, KDN mengenal pasti enam KRA kementerian yang dilihat dapat membantu pencapaian KRA nasional selain dapat menenuhi aspirasi dan kehendak rakyat iaitu meningkatkan keselamatan awam; memastikan akta dan undang-undang sentiasa relevan dengan keadaan semasa; mengatasi masalah keselamatan dan kesesakan di penjara dan pusat tahanan; menambah baik kebajikan anggota keselamatan; menambah baik penyampaian perkhidmatan; serta mengukuhkan integrasi nasional dan perpaduan.

No comments: