|
|
KOTA KINABALU 1 Julai - Sabah sememangnya terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai jenis makanan laut. Baik yang segar atau yang sudah dikeringkan, ia sedia menanti untuk dibeli orang ramai.
Selain segar dan sedap, harganya yang lebih rendah berbanding tempat lain di negara ini menjadikan makanan laut sebagi salah satu bahan cenderamata kepada pelancong yang datang ke bumi di bawah bayu ini.
Salah satu makanan laut kering yang begitu dikenali di Sabah dan tidak keterlaluan dikatakan sebagai salah satu bahan yang menjadi senarai utama untuk dibawa pulang oleh pelancong adalah udang kering.
Seorang pelancong dari Perak, Abdul Muin Kassim berkata, udang kering Sabah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
''Selain lembut, enak dan 'wangi', ia juga tahan lama serta harga yang ditawarkan amat berpatutan dan murah," ujarnya.
Justeru, kesempatan berada di negeri ini kerana menghadiri kursus tidak dilepaskan dengan membeli udang kering untuk dijadikan cenderamata kepada kawan serta sanak saudara di kampung.
Antara tempat yang menjadi tumpuan utama penggemar udang kering adalah di Pasar Besar Kota Kinabalu. Di sini banyak pilihan udang kering yang dibezakan dari segi kualiti, rasa dan harga.
Salah seorang penjual udang kering Mohd. Jamil Rahman, 50, berkata kebiasaannya udang kering dibezakan berdasarkan kualiti atau kesegaran udang, saiz serta kebersihan.
Katanya, kualiti dan kesegaran boleh dilihat berdasarkan warna udang kering tersebut, selain bau dan kebersihannya.
''Cita rasa pembeli berbeza. Ada yang tidak kisah mengeluarkan lebih sedikit wang untuk mendapatkan udang kering yang berkualiti tinggi manakala ada juga yang memilih udang kering yang sedikit rendah harganya kerana mereka membeli dalam kuantiti yang banyak," katanya.
Beliau menambah, walaupun menyedari ramai pembeli yang tidak arif tentang udang kering itu, ia tidak dijadikan peluang untuk dia mengambil kesempatan meraih keuntungan berlipat kali ganda.
''Seboleh-bolehnya saya akan menerangkan kepada mereka kenapa harga yang ini mahal dan kenapa yang itu murah sedikit. Selepas itu terpulang kepada mereka membuat pilihan," katanya yang telah menjalankan perniagaan udang kering sejak 20 tahun lalu.
Mohd. Jamil berkata, semua udang kering itu diperoleh secara borong daripada pembekal di daerah Tawau yang merupakan pembekal utama kepada kebanyakan makanan laut kering di bandar raya ini.
"Kebiasaannya saya sendiri akan pergi ke Tawau untuk mendapat udang kering yang segar dan berkualiti tinggi," katanya.
Ayah kepada tiga orang anak ini berkata, lazimnya pendapatan daripada perniagaan menjual udang kering itu akan bertambah berlipat kali ganda menjelang hari perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri.
"Pelanggan tidak putus-putus datang. Malah ada ketikanya sampai bekalan juga tidak mencukupi.
"Oleh itu, apabila musim perayaan saya akan membuat tempahan yang banyak bagi menampung permintaan yang meningkat," katanya.
Menyentuh soal harga, Mohd. Jamil berkata, kebiasaannya dia menjual udang kering dengan membungkus di dalam paket dan dibezakan dengan berat tertentu.
"Satu paket udang kering seberat satu kilogram biasanya dijual RM30, 500 gram, RM15, 300 gram RM10 dan 50 gram RM5. Jika pelanggan membeli dengan kuantiti yang banyak, harga boleh dirunding.
"Saya tidak pernah mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tinggi, sebaliknya, memberi potongan harga berpatutan kepada mereka," ujarnya.
utusan
No comments:
Post a Comment