JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, July 2, 2009

Mas kahwin, hantaran lebih rendah elak nikah lewat

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mahu menyeragamkan mas kahwin dan hantaran di negeri ini dalam usaha memudahkan urusan pernikahan pasangan, sekali gus mengatasi trend masyarakat ketika ini yang cenderung meletakkan kadar yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, berkata kadar mas kahwin lebih rendah akan ditetapkan bagi mengelak masalah pernikahan lewat disebabkan beban kewangan.

Beliau berkata, perkara itu masih dalam cadangan dan kajian mengenainya dengan pihak berkaitan akan dilakukan dalam tempoh terdekat.


"Kerajaan negeri akan mencadangkan perkara ini kepada pihak berkaitan supaya satu analisis dapat dibuat bagi menilai trend penetapan mas kahwin yang semakin meningkat.

"Saranan supaya menetapkan mas kahwin rendah adalah sebagai galakan untuk memudahkan urusan perkahwinan kerana dalam soal ini bukan wang yang menjadi ukuran semata-mata," katanya pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Abdullah Ya'kub (Pas-Air Lanas) yang meminta kerajaan negeri menjelaskan usaha menggalakkan mas kahwin dan hantaran rendah bagi mengatasi fenomena lambat kahwin di kalangan wanita.

Menjawab soalan tambahan Abdullah, Wan Ubaidah berkata, kerajaan negeri juga bercadang memberi bantuan mas kahwin kepada belia negeri ini, tetapi bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.

"Kerajaan negeri sebelum ini sudah mengadakan seminar 'Nikah Senang' yang mana ia juga adalah kempen kita yang pertama supaya kadar mas kahwin direndahkan," katanya.

Terdahulu, persidangan DUN gamat seketika apabila Hassan Mahamood (Pas-Tawang) mencadangkan supaya pemimpin negeri memulakan langkah menyahut saranan itu dengan menetapkan kadar mas kahwin yang rendah bagi anak perempuan masing-masing.

Speaker DUN Kelantan, Nassuruddin Daud, kemudian mencelah dengan menyarankan supaya Hassan yang memulakan langkah itu dengan menetapkan kadar mas kahwin rendah untuk anaknya sebelum disambut dengan tepukan meja anggota Dewan.

Bagaimanapun, keadaan kembali reda apabila Wan Ubaidah memberitahu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebelum ini pernah menyebut beliau menetapkan kadar mas kahwin RM1,000 untuk anaknya tetapi terpulang kepada pihak lelaki sama ada mahu membayar lebih.

"Kita berharap apa yang dilakukan itu akan menjadi contoh di kalangan kita dan orang ramai supaya menetapkan kadar mas kahwin yang rendah," katanya.

bharian

No comments: