PEKAN Serian memang cukup terkenal dengan ciri serta keunikannya yang tersendiri.
Ia menjadi tumpuan penduduk sekitar kerana pekan yang terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar raya Kuching itu merupakan pusat pentadbiran serta perniagaan penduduk setempat selain di bandar raya Kuching.
Pekan itu juga sering menjadi tempat persinggahan kepada mereka yang menggunakan jalan darat untuk ke bahagian-bahagian lain di utara negeri ini begitu juga sebaliknya.
Malah ada juga penduduk dari Kuching datang ke pekan Serian untuk membeli-belah pada hujung minggu khasnya untuk mendapatkan hasil hutan dan barangan lain yang sukar diperoleh di bandar raya Kuching.
Bukan itu sahaja, Serian turut menjadi destinasi istirehat kerana terdapatnya air terjun Ranchan dan Tasik Danau yang terletak hanya beberapa kilometer dari pekan itu.
Bagi mereka yang sering berkunjung ke pekan itu, pastinya mengakui kebersihannya dengan sistem tandas yang sememangnya diperakui aspek kebersihannya.
Kehadiran burung-burung seperti burung perling (starling) dan burung layang-layang rumah (house switflet) pada awal senja di pekan itu menjadikan pekan Serian cukup berpotensi dijadikan salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.
Namun kehadiran ‘tetamu tidak diundang’ itu dalam kumpulan yang banyak, ribuan ekor pada satu-satu masa sedikit sebanyak menjejaskan keindahan serta kebersihan pekan itu.
Kehadiran dua kumpulan burung ini setiap hari dalam kumpulan yang besar setiap kali menjelang senja sering kali mengundang rasa kurang senang kepada warga pekan itu.
Apa tidaknya pada sebelah pagi tahi burung-burung berkenaan yang sering menjadikan dawai-dawai elektrik di pekan itu tempat ‘istirehatnya’ , menghiasi atas jalan raya dan rumah-rumah kedai di situ.
Kenderaan-kenderaan yang diletakkan di kawasan tumpuan burung-burung berkenaan akan menjadi mangsa tempat ia melepaskan sisa buangannya.
Tidak kurang, ada juga orang ramai yang lalu-lalang di situ menjadi mangsa.
Namun peniaga makanan di pekan itu terutama yang berjaja di gerai malam amat bernasib baik kerana kawasan perniagaan mereka bukan tempat istirehat burung-burung berkenaan.
Menurut seorang ekologis hidupan liar bertauliah, Tony Sebastine, dua spesies burung itu adalah jenis tempatan bukannya yang datang berhijrah ke negeri ini pada musim-musim tertentu untuk mencari perlindungan.
“Burung Perling (Starling) adalah berwarna hijau gelap dan dilihat berwarna hitam dari jauh serta matanya berwarna merah.
“Burung ini bukannya burung migrasi tetapi tinggal menetap di sini, maksudnya mereka akan berada di sini setiap masa.
“Burung layang-layang rumah (house switflet) juga bukan kumpulan burung layang-layang yang sering berhijrah dari kawasan-kawasan sejuk ke sini untuk mencari perlindungan. Ia adalah jenis tempatan.
“Tambahan burung-burung yang migrasi dari kawasan-kawasan utara biasanya akan datang ke sini pada bulan September dan Oktober untuk mencari tempat perlindungan sementara kerana di tempat asal mereka ketika itu musim sejuk.
“Lagipun ketika ini di sana adalah musim panas,” jelas Tony.
Tony menambah, burung layang-layang rumah itu tidak sama dengan burung layang-layang atau walit yang diternak secara komersial di negeri ini.
Bagi seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Lucy, 32, dia tetap berasa was-was setiap kali berjalan-jalan di pekan itu terutamanya pada lewat senja, takut menjadi mangsa tahi burung-burung berkenaan.
“Nasib baik burung-burung ini memilih tiang-tiang atau dawai elektrik yang merentangi jalan utama serta bukan tumpuan orang ramai.
“Namun kehadirannya yang banyak itu memang merimaskan kerana tahi-tahinya mengotorkan persekitaran dan mungkin juga membahayakan kesihatan”.
Atas rasa ingin tahu, Utusan Borneo pergi ke pekan itu pada kira-kira jam 6 petang Sabtu lepas dan mendapati beberapa kumpulan kecil burung berkenaan mula berlegar-legar di ruang udara pekan Serian mencari lokasi pendaratan mereka.
Pemerhatian juga mendapati burung-burung berkenaan terdiri daripada dua kumpulan satu berwarna hitam (burung perling) dan sekumpulan lagi berwarna hitam dan putih (layang-layang rumah).
Namun jumlah burung layang-layang rumah lebih banyak berbanding burung perling dan mereka tidak berkumpul di tempat yang sama.
Burung Perling lebih memilih atas bangunan sebagai tempat istirehatnya manakala burung layang-layang rumah di atas dawai-dawai elektrik dan telefon.
Pada kira-kira jam 6.30 petang, jumlah ‘tetamu tidak diundang’ ini bertambah banyak dengan kicauan ibarat anda sedang berada di tengah-tengah pulau burung atau hutan belantara.
Ketika pekan Serian kian sunyi dengan kehadiran manusia, burung-burung ini bagaikan bermaharajarela di ruang udara pekan itu dan kehadiran mereka yang pada mulanya dalam kumpulan kecil kemudiannya menjadi kumpulan yang lebih besar.
Jumlahnya yang terlalu banyak di ruang udara menyebabkan ia seperti kelkatu (sejenis serangga yang mengerumuni cahaya lampu) atau lebah sedang mencari tempat berehat.
Pada kira-kira jam 7.00 malam, dawai-dawai elektrik di sepanjang jalan Serian by Pass berhadapan blok restoran makanan ringan penuh dengan burung layang-layang rumah.
Namun gelagat burung perling tidak kelihatan mungkin berada di lokasi berbeza.
Bagi mereka yang tidak pernah menyaksikan situasi itu, pasti seronok rasanya dan itulah diamali penulis namun di sebalik keseronokan itu, kami tidak terlepas menjadi mangsa tahi makhluk itu.
Kehadiran ribuan burung-burung itu dikongsi bersama dengan Walikota Samarahan Frederick Bayoi dan beliau sendiri mengakui kehadiran burung-burung itu mengundang banyak masalah kepada penduduk yang tinggal di kawasan sekitar sambil mengakui tahi burung-burung itu bertoksik.
Menurutnya, selain menjadikan rumah-rumah kedai dan dawai elektrik tempat mereka berehat pada sebelah malam, rumah-rumah di kawasan perumahan di sekitar pekan itu turut menjadi tumpuan burung-burung berkenaan.
“Jumlah burung-burung ini lebih banyak selepas hujan, mungkin mereka tiada tempat tinggal yang tetap.
“Masalah itu turut dialami di Sibu dan Sri Aman tetapi jumlah yang terlalu banyak sampai beribu-ribu ekor sememangnya mengundang masalah,” katanya.
“Kalau bermusim mungkin tidak akan menjadi masalah besar tetapi nampaknya burung-burung ini adalah burung tempatan yang sentiasa ada,” tambahnya.
Frederick walaupun mengakui tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Majlis Daerah Serian (MDS) dalam membasmi atau menghapuskan burung-burung ini, berjanji akan mengarahkan MDS sekurang-kurangnya membersihkan tahi burung-burung berkenaan jika tidak dapat ditangkap kesemuanya.
“Kalau situasi bertambah serius, saya akan arahkan MDS mencuci tahi burung ini dan menangkapnya kalau boleh bagi mengurangkan jumlahnya kerana jika dibiarkan begitu sahaja ia boleh menjejaskan tahap kebersihan serta keselesaan pekan ini,” ujarnya.
“Kalau jumlahnya sedikit tidak menjadi masalah, yang menjadi masalah apabila jumlahnya sampai beribu-ribu ekor… kotor dan berbau sudah tentu,” tambah Bayoi.
Apapun katanya, pihaknya sentiasa memantau kehadiran burung-burung berkenaan sebelum tindakan sewajarnya diambil.
No comments:
Post a Comment