Permohonan demi permohonan yang dibuat bagi mendapatkan permit sah ditolak LPKP membuatkan pemandu van sapu bertindak melanggar undang-undang kenderaan perdagangan walaupun sedar ia menjadi kesalahan.
Tindakan LPKP yang mewajibkan hanya van berusia kurang 10 tahun dibenarkan digunakan sebagai kenderaan awam juga mengundang pertanyaan kepada pemandu kerana ada perkhidmatan awam lain menggunakan kenderaan mencecah usia 30 tahun.
Tinjauan Berita Harian berdekatan kompleks Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yang menjadi pusat perhentian van sapu di Kuching, mendapati hanya lima van mempunyai permit sah dengan 30 van sapu turut beroperasi bersama.
Walaupun mengenakan tambang sama iaitu RM1.50, van sapu tetap menjadi pilihan pengguna kerana jadual perjalanannya yang lebih cepat serta tidak terikat dengan laluan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Seorang pemandu van sapu, Ismail Seman, 36, berkata beliau sulah beberapa kali membuat permohonan mendapatkan permit, malah telah menukar van lamanya kepada jenis baru namun sehingga kini tiada jawapan dari LPKP.
Katanya, kali terakhir dia membuat permohonan adalah dua tahun lalu ketika LPKP menjemput semua pemandu van sapu di Kuching menghadiri taklimat mendapatkan permit kereta sewa namun tiada seorang di antara mereka diluluskan permohonan.
"Kos bagi mendapatkan permit adalah RM1,500 termasuk bayaran kepada LPKP, bayaran pemeriksaan kenderaan kepada Puspakom, bayaran lesen kepada Jabatan Pengangkutan Jalan selain kos menyediakan kenderaan bagi pemeriksaan.
"Dengan kutipan antara RM50 dan RM60 sehari yang belum ditolak ansuran bank, duit minyak, kos penyelenggaraan van serta makan dan minum, bagaimana kami dapat mengumpul wang sebanyak itu," katanya yang sudah lebih lima tahun memandu van sapu.
Sebelum memandu van sapu, Ismail dan seorang lagi rakannya, Sarbini Ahmad, 46, adalah pengayuh perahu yang menyediakan perkhidmatan menyeberang Sungai Tabuan, namun selepas jambatan di sungai berkenaan siap pada awal tahun 90-an, mereka terpaksa menukar kerjaya.
Bagi Sarbini, syarat paling berat yang dikenakan LPKP adalah mengenai hanya van berusia 10 tahun ke bawah dibenarkan membawa penumpang dengan ia sangat membebankan berikutan harga van baru mencecah RM100,000 seunit.
Katanya, pertimbangan harus diberikan kepada mereka kerana LPKP masih membenarkan syarikat bas beroperasi di Sarawak sedangkan maklum bahawa ada antara kenderaan itu telah berusia lebih 10 tahun dan kerap rosak ketika membawa penumpang.
"Disebabkan syarat itu ada van yang pernah mempunyai permit gagal memperbaharui dan rela menjadi van sapu dari terpaksa menanggung hutang bank membeli kenderaan baru,” katanya.
No comments:
Post a Comment