
KOTA KINABALU, 4 Ogos (Bernama) -- Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILT) Sabah hari ini menggesa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) supaya menambah permit bas bagi perkhidmatan laluan dalam bandar raya itu.
Pengerusi CILT Sabah Ramli Amir berkata LPKP nampaknya lembap dalam melaksanakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai sebuah badan yang mengeluarkan permit kepada kenderaan perdagangan.
"Bagi memastikan keberkesanan Sistem Bas Bandar Raya, perlu ada bilangan bas yang cukup bagi dua laluan yang dikhaskan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
"Ketika ini, ada 13 atau sehingga 15 buah bas disediakan untuk perkhidmatan bagi laluan dalam bandar dan bilangan ini tidak cukup untuk memastikan perkhidmatan bas setiap lima minit," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.
Ramli mendakwa dengan kekurangan bilangan bas, pengguna terpaksa menunggu 30 minit untuk mendapatkan perkhidmatan bas di laluan dalam bandar.

"Buat masa ini, hanya sebuah syarikat pengusaha sahaja dibenarkan menyediakan perkhidmatan dalam bandar dan kami tidak tahu sama ada LPKP mengeluarkan permit bagi mengatasi masalah kekurangan bas," katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, Ramli mencadangkan supaya sebuah lagi syarikat penguasha bas diberi kebenaran mengadakan perkhidmatan dengan berkongsi laluan yang sedia ada.
"Oleh kerana ada dua laluan, biar kita kongsi kepada dua syarikat pengusaha. Ianya mudah dan penyelesaian yang logikal. Selagi pengusaha bas gagal memberi kata putus mengenai kekurangan bas, maka masalah dan rungutan pengguna akan berlarutan," katanya.
No comments:
Post a Comment