Sangat berbangga dengan kepimpinan yang telah membuka medan-medan yang baru dan luas untuk dakwah dan jihad di bumi Malaysia ini. Ia adalah satu pengalaman yang baru, malah menjadi kebanggaan pendakwah-pendakwah di luar negara. Selepas kejayaan PRU 2008, ada dikalangan ‘ahli-ahli’ terpinga-pinga dengan kejayaan ini. Malah merasa binggung dan menganggap ia satu musibah pula.
Bagi penulis kejayaan telah bermula apabila PAS berjaya menyesuaikan diri dengan pengundi-pengindi bukan Islam dan mengekalkan pengundi Islamnya. Kejayaan telah bermula apabila medan-medan amal untuk ahli semakin terbuka. Lebih jelas apabila mereka diberi peluang oleh Allah untuk duduk bersama dengan Cina dan India dalam banyak aktiviti mereka. Satu tindakan yang sangat berani bagi sebuah Jemaah Islam di Malaysia. Jangan diharap kepada Jemaah lain kerana PASlah satu-satunya yang berani dan telah memulakannya.
Namun kelihatan apabila diberi kejayaan kedua, dengan memenangi banyak kerusi yang sebahagiannya dari tangan pengundi Islam dan sebahagian yang lain dari kerjasama tangan-tangan pengundi bukan Islam, ‘ahli PAS’ kebingungan. Terasa betapa susahnya dan kekok sebahagian ‘ahli PAS’ bekerjasama dengan bukan Islam dan bukan rakan sefikrah. Sedangkan bekerja dengan sang rakan sefikrah pun kadang-kadang dianggap musuh dan munafiq; inikan pula dengan dua kumpulan sang kafir dan sang bukan sefikrah yang disebut sebelum ini. Bagi penulis inilah saat paling manis apabila kita ahli-ahli PAS yang menjadi ‘gurkha’ bekerja siang dan malam untuk parti.
Mengorbankan segalanya, demi Jemaah tercinta ini. Bagi penulis yang cuba berkorban di medan kecil di Rengit yang tidak dikenali orang sejak 1999 dapat merasakan kemanisan bekerja dengan pengundi-pengundi UMNO yang pekat dan karat. Pengorbanan ini tercabar apabila melihat sebahagian ‘ahli PAS’ yang berjaya tidak pandai menghargai kejayaan itu.
Kita berjuang kerana Allah dan bermatian untuk memenangkan Jemaah di medan pekat Johor; tidak terfikir meninggalkan bumi Johor, kerana memang niat nak mulakan sesuatu di Johor. Dan ia bermula berputik, tetapi bimbang pengalaman di kawasan yang dimenangkan Allah, kelihatan sebahagian ‘ahli PAS’ tidak menunjukkan kematangan ‘memimpin’.
Ya! Menjadi Ahli PAS dan meleburkan diri dalam PAS adalah perjuangan dunia dan akhirat. Kita bersedia berdakwah, mendidik, mentarbiyyah dan MEMIMPIN mereka. Kebijaksanaan ahli PAS menyesuaikan diri dengan tuntutan Cina dan India di Semenanjung adalah sesuatu tuntutan amal Jama’ie hari ini.
Tuntutan Cina dan India adalah bom jangka panjang yang ditinggalkan oleh penjajah. Adakah ‘ahli PAS’ tidak mengkajinya sebelum sama-sama membuat keputusan untuk terlibat dengan pilihanraya ala demokrasi Malaysia. Mengganggap kerjasama dengan Cina dan India sesuatu yang silap dan merugikan, satu perkiraan yang sangat menghampakan.
Kerjasama ini berdasarkan ilmu ‘Qawaid Dakwah’ dan ‘Siasah Syariyyah’ yang kita pelajari dan amalkan. Dicampur dengan ilmu sepak terajang ‘win-win situation’ adakah Jemaah ini mengaku kalah sehingga ada dikalangan sebahagian ‘ahli PAS’ yang merasakan PAS telah rugi dan dinodai.
Berbangga dengan PAS yang semakin matang dan terkehadapan menyebabkan banyak lagi pengorbanan yang akan disumbangkan oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya. Kebijaksanaan pemimpin-pemimpin PAS ‘menumpang sementara’ populariti DSAI sesuatu yang sangat ajaib. Semua tahu ke mana sangat fikrah dan ilmu DSAI. Dia insan biasa dari segi kelulusan ilmu agama.
Tetapi memahami beliau ada satu kekuatan anugerah Allah semulajadi, boleh menarik perhatian manusia dan pengundi, boleh menggerakkan jentera dan negeri, boleh menyebabkan India dan Cina menghampiri, pemimpin PAS dengan penuh bijaksana menumpang anugerah Allah itu. Menumpang tanpa menggadai prinsip Jemaah yang jelas.
Kerjasama itu tidak akan menarik ahli-ahli PAS yang ditarbiyyah meninggalkan Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Haji Hadi dan Jemaah ini. Kerjasama dibatasi dengan fikrah dan aqidah yang jelas. Pemimpin PAS tidak merasa cemas apabila melihat orang awam berbangga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Pemimpin PAS tidak pernah merasa pengaruh PAS hilang bila bekerjasama dengan DSAI. Malah PAS berjaya menarik dari kalangan awam itu ke Jemaah kita. DSAI pula tidak pernah menghalang kita secra terbuka, untuk menarik orang awam kepada kita. Itulah bijaknya pemimpin kita.
Tidak seperti sebahagian ‘ahli PAS’ yang sukar menyesuaikan diri dalam suasana baru. Tarbiyyah sentiasa berkembang dengan mengekalkan ‘Tsawabit’ dan menyesuaikan diri Jemaah dengan ‘Mutaghaiyirat’. Mengekalkan Asas-asas yang ada dan menyesuaikan diri dengan perkembangan dan perubahan yang dibenarkan syarak. Percayalah, kegemilangan Jemaah Islam akan kembali di bumi Malaysia. Tahniah kepada pemimpin PAS.
Oleh: USTAZ HASANUDDIN
No comments:
Post a Comment