PERSATUAN Siswazah Sabah mengecam pihak penganjur Festival Filem Malaysia Ke-22, apabila mereka masih lagi berniat mengadakan Malam Anugerah FFM-22 itu di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah tanggal 8 Ogos ini, walaupun kampus tersebut telah mula diancam wabak selsema babi (H1N1).
Presiden Persatuan Siswazah Sabah, Saudara Bunyamin Bakri, apabila dihubungi menegaskan, hasrat penganjur untuk tidak membatalkan acara tersebut, seolah-olah bertolak-tali dengan peringatan yang diturunkan oleh Allah dalam bentuk wabak selsema babi.
“Sejarah menukilkan kisah penghapusan sesuatu kaum atau bangsa secara keseluruhan dengan sebab keingkaran mereka untuk tunduk kepada Allah, sebagaimana penghapusan Kaum Tsamud di zaman Nabi Shalih dengan ditelan oleh bumi, tentera Firaun yang ditenggelamkan oleh Laut Merah di zaman Nabi Musa dan lain-lain kisah pengajaran.”
Beliau menambah dengan nada sinis, “Barangkali dengan sebab umat Nabi Muhammad ini diberi kelebihan oleh Allah iaitu tidak dihapuskan secara sekaligus, mereka menganggap kuasa Allah telah mula weak kerana Ribut Greg 1999, tsunami 2006 dan terkini selsema babi ini hanya memusnahkan atau menimpa segelintir sahaja manusia.”
Beliau turut menyatakan kekesalan apabila mendapat laporan bahawa gejala Kristianisasi telah mula menular semula di dalam kampus, selain penggunaan institusi pengajian tinggi sebagai tempat pelaksanaan Persidangan UMNO Sepanggar tanggal 2 Ogos yang lalu yang terang-terang mencabuli akta dan peraturan Universiti. Akhirnya beliau menyatakan hasrat menghantar memorandum kepada Naib Canselor UMS, Kolonel Prof. Datuk Dr Kamaruzaman Haji Ampon dan mengatur pertemuan dengan beliau secepat mungkin bagi membincangkan isu-isu tersebut.
FFM-22 telah bermula sejak 3 Ogos di Sabah, dan antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel penerbitan video, bengkel penulisan skrip, bengkel lakonan, sesi bertemu bintang legenda serta tayangan filem percuma bermula 6 Ogos sehingga 8 Ogos di GSC 1Borneo dan GSC Kilan, Kota Kinabalu, Sabah.
Keputusan samada Malam Anugerah Festivel Filem Malaysia ke-22 yang dijangka akan dihadiri oleh 600 penggiat seni tanahair, dan mengedar 5000 tiket percuma kepada orang awam, mahasiswa dan sebagainya akan ditentukan petang esok melalui pengumuman samada UMS terpaksa ditutup berikutan beberapa kes yang telah dikenalpasti menjangkiti warga kampus.
PSS optimis pihak pentadbiran UMS akan mengambil keputusan yang betul dan mendahulukan mahasiswa sebagai rakyat di Universiti, bertepatan dengan slogan 1Malaysia yang sering ditonjolkan mutakhir ini, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Oleh: zaiem al-hilmee
No comments:
Post a Comment