JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, August 15, 2009

KUBUR DAYAK DI MIRI, BILA NAK SELESAI ?

alexander

Isu kelewatan pembukaan tanah perkuburan Dayak di Sungai Dalam, Lambir dianggap selesai selepas Persatuan Dayak Miri (DAM) selaku pihak yang diberi kepercayaan menguruskan tanah itu bersetuju bekerjasama dengan komuniti Iban dalam mencari dana.

Presiden DAM, Alexander Karin Isut memberitahu, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat dengan wakil Pejabat Residen, Pejabat Daerah Miri, ketua rumah panjang serta ketua masyarakat Iban di Rumah Dayak petang tadi.

“Kita sudah berbincang mengenai perkara ini secara meja bulat, dan saya percaya ia tidak menjadi isu lagi.”

”Apa yang penting sekarang, semua pihak sudah mencapai kata sepakat untuk sama-sama mencari dana memandangkan masalah kewangan merupakan penyebab kelewatan kubur itu dibuka,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Alexander sebelum ini berkata, ia mengambil masa kerana DAM perlu bekerjasama dengan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

Baru-baru ini, seramai 12 ketua rumah panjang di Miri menggesa Persatuan Dayak Miri (DAM) menjelaskan situasi sebenar berhubung kelewatan pembukaan tanah perkuburan itu di Lambir yang diluluskan kerajaan tahun lepas.

Kelewatan itu menyebabkan masyarakat Iban di sini mendakwa mereka terpaksa mengemis tanah perkuburan di kawasan luar setiap kali berlaku kematian.

Ini kerana, perkuburan di Jalan Riam dan Batu 8 Jalan Miri Bintulu tidak mencukupi dan semakin sesak.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, setakat ini mereka sudah mengumpul RM10,000 iaitu termasuk RM5,000 disumbangkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, RM4,000 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut Andy Chia manakala RM1,000 hasil kutipan ahli-ahli DAM.

”Kita juga sudah mendapatkan bantuan Pejabat Daerah Miri selain meminta bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina akses ke kawasan perkuburan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Iban Bahagian Miri, Pemanca Wilson Siang Lim berharap masyarakat Dayak dan DAM dapat bekerjasama khususnya dalam mencari dana.

”Kita berharap isu ini dapat ditangani sebaik mungkin memandangkan inilah satu-satunya kubur yang disediakan kerajaan untuk komuniti Dayak.”

Sementara itu, Kerajaan pada Mei 2008 meluluskan tanah perkuburan yang terletak di Sungai Dalam dan memberi milik kepada DAM untuk menguruskan bagaimanapun selepas setahun ia belum dapat digunakan sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan komuniti Iban.

No comments: