JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, August 16, 2009

SENGATAN TULISAN RIDHUAN


SEORANG penulis berbangsa Cina yang kini memeluk Islam dengan berani membangkitkan nasib orang Melayu di bumi Malaysia dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu bulan lalu, dan hasilnya selama tiga minggu beliau dihentam teruk dan menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar Cina di negara ini.

'Perang' antara penulis berkenaan dengan akhbar Cina pun bermula walaupun niat asal penulis berkenaan menyedarkan orang Melayu Islam mengenai nasib mereka di bumi Melayu bukannya mengecam kedudukan orang Cina dan parti politik Cina, jauh sekali menghentam peranan akhbar berbahasa Cina.

Penulis berkenaan dalam artikelnya, menjawab semua tuduhan dan reaksi akhbar berbahasa Cina berkenaan dan bertegas menyatakan kenyataannya adalah hakikat yang perlu diterima semua walaupun ia pahit untuk ditelan.

Di negara ini, akhbar bagi masyarakat Cina memainkan peranan penting dalam masyarakat Tionghua bukan hanya sebagai medan penyebaran maklumat mengenai bangsa dan negara tetapi berperanan mengekalkan kebudayaan Cina supaya dapat diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.

Mengikut catatan sejarah, akhbar pertama yang diterbitkan di negara ini ialah Cha Shi Sue Mei Yue Tong Ji Zhuan iaitu akhbar berkaitan keagamaan kaum Cina, pada 1815.

Antara 1880 hingga 1919, muncul akhbar berbahasa Cina yang mengandungi unsur politik dikenali Guang Hua Daily, diikuti beberapa lagi akhbar lain.

Pada 1920 hingga 1941, akhbar Cina berubah kandungan daripada unsur politik kepada bentuk perniagaan.

Ketika pejuang kemerdekaan sibuk membebaskan negara ini daripada penjajahan British, akhbar Cina turut berperanan menyebarkan perjuangan kemerdekaan.

Selepas merdeka muncul akhbar seperti Nanyang Press dan Sin Chew Daily serta Shin Min Daily yang beroperasi dari Singapura yang menjadi suara masyarakat Cina ketika itu menyampaikan cadangan dan pandangan masyarakat berkenaan kepada kerajaan.

Perkembangan dan kemajuan negara menjadikan akhbar Cina terus berkembang dan diterima baik masyarakat berkenaan sehingga timbul peristiwa monopoli akhbar berkenaan oleh seorang usahawan yang mendapat tentangan ramai masyarakat itu.

Pengambilalihan akhbar Nanyang Siang Pau oleh parti terbesar masyarakat Cina, MCA pada 28 Mei 2001 menjadi titik penting dalam sejarah revolusi akhbar berbahasa Cina di negara ini, begitu juga pembelian saham Nanyang Press oleh Tan Sri Tiong Hiew Kiong pada 2006.

Hari ini, ada kira-kira tujuh akhbar Cina diterbitkan di negara ini tidak termasuk majalah mingguan dan majalah politik dalam bahasa Cina yang semakin banyak diterbitkan sama ada dengan kebenaran atau tidak daripada Kementerian Dalam Negeri.

Melihat kepada jumlah, akhbar Cina adalah yang paling banyak berbanding akhbar berbahasa Melayu iaitu seperti Berita Harian dan Harian Metro, selain Utusan Malaysia dan Kosmo, Sinar Harian dan beberapa akhbar mewakili parti politik seperti Harakah dan Suara Keadilan.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata akhbar berbahasa Cina sama seperti akhbar vernakular lain yang lebih memberatkan isu mengenai kaum yang menjadi pembaca dan pelanggan akhbar berkenaan.

Keadaan berkenaan menurutnya menjadi akhbar Cina lebih bersikap perkauman tambahan pula hanya orang yang memahami tulisan Cina yang membacanya.

Bukan semua orang boleh membaca tulisan Cina, malah ada orang Cina yang tidak mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang tidak membaca akhbar berkenaan.

Justeru, mereka (akhbar Cina) seakan-akan bebas menulis apa saja yang mahu mereka tuntut sehingga mengetepikan jati diri bangsa, nasional dan negara.

Namun, menyedihkan sering kali akhbar arus perdana yang berbahasa Melayu atau Inggeris yang difahami majoriti rakyat Malaysia dilihat lebih bersikap perkauman apabila menerbitkan pandangan dan pendapat atau berita yang mengutamakan orang Melayu.

"Sikap sedemikian tidak seharusnya timbul dan akhbar vernakular seperti akhbar Cina atau Tamil sekali pun tidak sepatutnya menjadi medan untuk bangsa Cina atau India menyatakan pandangan dan membuat tuntutan yang hanya bersikap kepada bangsa saja.

"Jika mereka (akhbar) lebih bertanggungjawab sepatutnya mereka berperanan menjadi medan mengukuhkan lagi jati diri bangsa Cina sebagai warga negara Malaysia, bukan semangat kecinaan semata-mata," katanya yang nyata bimbang dengan perkembangan warga Cina yang lebih cenderung mengagungkan semangat kecinaan berkiblatkan Hong Kong, China dan Taiwan.

Masyarakat Cina perlu berpijak di bumi yang nyata dan menjadi bangsa yang 'di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung', perlu realistik dengan menuntut perkara yang tidak munasabah serta terpesong daripada semangat Malaysia.

"Saya tidak kisah jika dikatakan Cina murtad kerana apa yang saya kata adalah benar walaupun pahit. Saya bukannya berani atau celupar sebaliknya saya menyatakan yang benar dan hakikat perlu diterima," katanya.

Perlu diingat bahawa masyarakat Cina atau India di negara ini perlu menjadi Cina atau India Malaysia yang mana menerima masuk kemelayuan ke dalam bangsa mereka seperti bertutur dalam bahasa Melayu.

"Seperti berlaku di Negara Thai, Melayu di sana tidak sama dengan Melayu di Malaysia. Mereka masih bertutur bahasa Siam walaupun masih menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian," katanya.

Sentimen etnik dan tuntutan untuk kepentingan jati diri kecinaan saja sering dimainkan di akhbar Cina yang menyebabkan masyarakat tidak ada jati diri kenegaraan dan usaha mewujudkan konsep 1Malaysia yang dilaungkan mungkin sukar untuk menjadi kenyataan.

Pengarang akhbar Cina sudah sampai masa menukarkan pendekatan akhbar mereka kerana masyarakat Cina di negara ini bukannya tertindas sehingga wujud permintaan dan pandangan yang mustahil dapat dilaksanakan di negara yang mempunyai pelbagai kaum.

"Pada pandangan saya, masyarakat Cina tidak berasakan Melayu hebat maka sukar menerima aspek kemelayuan untuk dipraktikkan termasuk bahasa kebangsaan, bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata kebanyakan akhbar tidak mengira bahasa di negara ini memang mengamalkan sikap perkauman sama ada sedar atau tidak.

Katanya, memang ada penafian di pihak akhbar mengenai sikap perkauman mereka dan yang lebih menyedihkan semua akhbar lupa mengenai agenda nasional yang perlu diutamakan berbanding perjuangan bangsa dan kehendak serta tuntutan kaum.

"Persepsi yang menyatakan akhbar Cina mengamalkan perkauman timbul kerana banyak cerita mengenai kumpulan pembaca akhbar itu diketengahkan, begitu juga dengan akhbar Melayu dan Tamil.

"Persepsi yang menyatakan akhbar berbahasa Melayu mengamalkan sikap perkauman mungkin timbul kerana akhbar berkenaan tidak lagi berperanan sebagai akhbar nasional atau akhbar untuk semua rakyat," katanya.

Beliau berpandangan, setiap akhbar vernakular memang mempunyai sikap perkauman kerana menampilkan cerita mengenai bangsa dan komuniti mereka termasuk akhbar berbahasa Melayu.

"Ketika sebelum merdeka dan tahun-tahun awal selepas kemerdekaan akhbar berbahasa Melayu (dalam tulisan Jawi) diterima sebagai akhbar untuk semua kerana ia berbahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan dan difahami semua, namun dengan adanya proses peralihan politik dan berkembangnya sistem kapitalisme atau pemilikan, maka akhbar berkenaan berubah menjadi akhbar komuniti yang mewakili orang Melayu.

"Akhbar arus perdana perlu sedar bahawa jika mereka tidak mahu dikatakan perkauman atau
mahu menjadi suara nasional ia perlu lebih adil dan terbuka dalam laporannya bukannya menjadi akhbar yang terikat dengan pemilikannya. Akhbar vernakular seperti akhbar Cina dan Tamil pula perlu bersedia untuk mengecilkan peranannya menjadi akhbar komuniti kaum dan bersedia berubah menjadi akhbar nasional yang menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Dalam masyarakat yang pelbagai di negara ini, adalah tidak adil bagi akhbar menjadi suara yang membeza-bezakan isu mengikut kaum dan mewakili pihak daripada kepelbagaian yang ada.

Pengaruh politik dan ruang kapitalis yang terbuka luas di negara ini terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 memperlihatkan banyak isu ekstrim dibincangkan di dalam akhbar.

Semua akhbar tidak kira sama ada akhbar berbahasa Melayu, Cina dan Tamil kini berbeza-beza kerana mewakili kaum masing-masing.

Perkembangan berkenaan tidak boleh dibenarkan kerana ia sama seperti sistem pendidikan mengikut aliran yang kini menjadi punca wujud masalah perkauman selepas negara merdeka 52 tahun.

Justeru, tuduhan yang menyatakan akhbar mengamalkan perkauman sebenarnya memang wujud tidak kira ia berbahasa Melayu, Cina, Tamil atau Inggeris.

INTIPATI

  • Sentimen etnik dan tuntutan untuk kepentingan jati diri kecinaan saja sering dimainkan di akhbar Cina yang menyebabkan masyarakat tidak ada jati diri kenegaraan.

  • Akhbar Cina sudah sampai masa menukarkan pendekatan akhbar mereka kerana masyarakat Cina di negara ini bukannya tertindas sehingga wujud permintaan dan pandangan yang mustahil dapat dilaksanakan di negara yang mempunyai pelbagai kaum.

  • Sistem pendidikan mengikut aliran menjadi punca wujud masalah perkauman selepas negara merdeka 52 tahun.

  • bharian

    No comments: