Mengikut kajian Jabatan Mineral dan Geosains selepas insiden tanah runtuh paling buruk meragut dua nyawa mengakibatkan kemusnahan harta benda awal tahun ini, kawasan Bukit Kanada disahkan tidak stabil. Apapun bagi penduduk status untuk mendiami kawasan itu masih samar-samar.
Seorang penduduk dari kampung itu, Asran Junit, 56, berkata mereka pernah disuruh pindah dari kampung berkenaan ekoran kedua-dua kejadian tanah runtuh itu berlaku pada Februari lalu yang turut memusnahkan lapan rumah di kampung berkenaan.
Mangsa yang terbunuh ialah dua pekerja stesen petrol warga Indonesia ditimbus tanah runtuh kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian kedua.
“Kami akur kepada nasihat supaya berpindah asalkan kerajaan mempunyai pelan berhubung lokasi untuk menempatkan semula kami. Hingga kini belum ada kata putus dibuat,” katanya kepada Berita Harian di sini.
Wartawan Berita Harian yang turut dipelawa meninjau kawasan itu mendapati rumah konkrit milik Asran yang dibina ditepi cerun kira-kira 40 darjah, terbukti tidak begitu selamat untuk diduduki.
Asran berkata, rumah itu sebenarnya dibina di atas tanah yang menggelongsor dari sisi Bukit Kanada beberapa tahun lalu.
“Kampung kami memang terdedah kepada tanah runtuh. Masih jelas dalam ingatan saya
sebelum ini insiden awal tahun ini terdapat lima insiden tanah runtuh berlaku antara 1957 dan 1993. Bagaimanapun tanah runtuh awal tahun ini adalah yang terburuk," katanya.
Beliau berkata, pada 1950-an, syarikat minyak Shell memperuntukkan tanah untuk mewujudkan kampung berkenaan yang ketika itu dikenali sebagai Charcoal Plant sebelum mendapat nama sekarang beberapa tahun lepas.
“Saya agak muda saat itu, namun saya masih ingat Shell sangat tegas terhadap apa-apa aktiviti manusia di lereng bukit di kampung ini. Penduduk tidak dibenarkan menebang pokok besar, tetapi dibenarkan menanam padi huma,” katanya.
“Lazimnya, kami akan memerhatikan warna air di situ. Sekiranya jernih, maka keadaan selamat, tetapi jika air berkeladak, maka kami perlu keluar segera,” katanya.
Nada yang serupa turut disuarakan Zulkifli Basri, 46, yang dilahir dan dibesarkan di Kampung Lereng Bukit.
"Agak sedih jika diminta pindah meninggalkan kampung kelahirannya kami ini,” katanya.
"Saya bersetuju dengan apa jua cadangan kerajaan. Tetapi ia bukanlah perkara yang mudah. Penempatan semula bermakna saya perlu bermula dari awal dan saya harap kerajaan dapat memahami kesusahan kami dan melakukan apa yang boleh bagi meringankan beban kami," katanya.
Kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Latif Ibrahim, 45, berharap supaya setiap keputusan kerajaan berhubung penempatan semula penduduk Kampung Lereng Bukit akan menguntungkan semua pihak.
"Saya faham kerajaan hanya boleh menyediakan infrastruktur asas di kawasan penempatan semula yang baru jika dipindahkan supaya penduduk kampung tidak
berdepan kesukaran memulakan hidup baru.
"Walaupun begitu, saya yakin kerajaan tidak akan hanya membiarkan kampung yang ditinggalkan itu kosong begitu saja sejurus penduduknya pindah. Mereka masih boleh melaksanakan pembangunan lain di situ," katanya.
Ahli Parlimen Miri merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, berkata kerajaan negeri akan mengusahakan langkah bagi menangani situasi yang dihadapi penduduk Kampung Lereng Bukit.
Beliau berkata, keadaan tanah di lereng bukit itu tidak stabil dan kerajaan sedang mengkaji keputusan yang akan diambil membabitkan penduduk yang sudahpun diberi hak milik tanah di kampung berkenaan.
No comments:
Post a Comment