JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, August 17, 2009

KUALA SUNGAI BARAM CETEK


Masalah kecetekan di kuala Sungai Baram masih menghambat dan menjadi cabaran paling besar kepada Lembaga Pelabuhan Miri (LPM) untuk menjadi sebuah pelabuhan yang sempurna, kata Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin.

Justeru katanya, masalah itu perlu diatasi dengan segera untuk menyempurnakan fungsi LPM sebagai pusat pelabuhan utama di utara Sarawak dan menjana sumber ekonomi Miri yang kini menjana pendapatannya dalam industri minyak dan gas, pembalakan, pembinaan kapal, kelapa sawit dan industri pelancongan.

“Jika kita tidak ada pelabuhan yang sempurna maka kita akan menghadapi masalah dari segi pengurusan melalui laut ataupun sungai. Kita sebenarnya mempunyai kemudahan pelabuhan yang sempurna. Kita juga ada sungai yang besar dan dalam.

“Tetapi hanya satu sahaja cabaran dan masalah pelabuhan Miri iaitu kuala Sungai Baram. Itu sahaja. Jika masalah itu dapat diatasi kita akan mempunyai sebuah pelabuhan yang sempurna yang akan memainkan peranan yang penting untuk menentukan bandar raya Miri dapat mencapai pembangunan mampan.

Masalah kecetekan di kuala Sungai Baram itu katanya, turut mendapat perhatian kerajaan pusat dengan memperuntukkan bantuan daripada pakej ransangan ekonomi yang kedua bagi mengatasinya.

Lee memberitahu, kerajaan pusat bersama kerajaan negeri akan melaksanakan kajian untuk mengatasi masalah berkenaan yang kerap dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri.

Lee yang juga ADUN Senadin memberitahu pada masa ini kuala Sungai Baram hanya sedalam tiga meter ketika air pasang besar.

“Jika kita dapat mendalamkan muara sungai sehingga 10 meter, kita pasti lebih banyak kapal-kapal kargo besar akan menggunakan pelabuhan Miri yang akan membantu pembangunan Miri,” jelasnya.

Selain daripada itu katanya, LPM yang terletak di Kuala Baram telah mencapai kualiti perkhidmatan yang diperlukan untuk muncul antara pelabuhan-pelabuhan terbaik di rantau Asia.

Melihat kepada kekayaan sumber ekonomi Miri, LPM, katanya, boleh menjadi pintu masuk utama sumber ekonomi baru di bahagian utara Sarawak yang bukan sahaja mampu menjana ekonomi negeri tetapi juga menambah sumber pendapatan negara.

“Pelabuhan Miri mempunyai potensi dan prospek yang tinggi bukan sahaja untuk Miri tetapi juga negeri Sarawak.

“Miri amat bergantung kepada aktiviti marin di mana 80 peratus barangan dibawa masuk melalui pelabuhan kerana kos pengangkutan yang rendah, menjadikan harga barangan yang murah sekali gus meningkatkan kuasa beli pengguna. Ini akan menambah momentum ekonomi yang sekali gus menjana pendapatan negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam penghargaan MPA di Hotel Imperial malam kelmarin.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bekenu yang juga Pengerusi LPM, Rosey Yunus dan Pengurus Besar LPM Shebli Hairani.

Di majlis yang sama Lee berharap kakitangan LPM akan mengekalkan kualiti kerja yang cemerlang kerana sumbangan mereka telah membantu menukar persepsi masyarakat tentang keupayaan pelabuhan tersebut.

No comments: