JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, August 19, 2009

Buka puasa: Pilih hotel miliki sijil halal

PUTRAJAYA 18 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan umat Islam menitikberatkan aspek halal ketika berbuka puasa di hotel-hotel ketika bulan Ramadan yang dijangka bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, umat Islam perlu memastikan mereka hanya memilih hotel yang memiliki persijilan halal bagi dapur utama mereka.

''Menyedari tentang budaya berbuka puasa di hotel-hotel sepanjang bulan Ramadan, kita berharap pihak penganjur majlis berbuka puasa dapat memilih hotel-hotel yang memiliki sijil halal Jakim atau dari Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

''Ini kerana berbuka puasa adalah majlis ibadah, nanti tidaklah majlis berbuka puasa itu sia-sia apabila berbuka puasa dengan hidangan tidak halal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Forum Ambang Ramadan dan pelancaran buku Panduan Berpuasa Bagi Pesakit terbitan Jakim di sini hari ini.

Pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Wan Mohamad mengulas trend umat Islam menghadiri atau menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel termasuk yang masih belum memiliki persijilan halal bagi dapur utama mereka.

Hotel-hotel kini sibuk menyediakan pakej berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan dengan menghidangkan pelbagai jenis sajian.

Terdahulu beliau memberitahu, Jakim akan mengedarkan 5,000 naskhah pertama buku Panduan Berpuasa Bagi Pesakit secara percuma kepada orang ramai sempena kedatangan Ramadan tahun ini.

''Ini diharap dapat dimanfaatkan terutama kepada para pesakit di hospital-hospital kerajaan dan swasta," katanya.

Mengenai program mengimarahkan bulan Ramadan, Wan Mohamad berkata, empat buah masjid di bawah Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di Presint 2, Putrajaya telah menyediakan program masing-masing.

Katanya, antara program tersebut ialah kuliah zohor, majlis berbuka puasa, tadarus dan qiamullail selain memberi peluang kepada badan-badan bukan kerajaan menganjurkan majlis seperti sumbangan anak yatim.

''Insya-Allah, kalau puasa bermula Sabtu, maka Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin yang baru siap dibina akan mengadakan solat tarawihnya yang pertama.

''Selain itu, kita jemput semua umat Islam untuk membawa ahli keluarga masing-masing untuk berbuka puasa di masjid-masjid," katanya.

Jelas beliau, berbuka puasa di masjid tidak sepatutnya dianggap hanya untuk golongan miskin dan daif tetapi ia adalah amalan sunnah selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Di samping itu, beliau berkata, penganjur yang mengadakan majlis berbuka puasa di masjid juga boleh menjemput golongan bukan Islam untuk hadir sama.

''Biasanya majlis dibuat di kawasan dewan masjid, ini tidak dikategorikan sebagai masjid, jadi orang bukan Islam boleh ikut sama," katanya.

No comments: