JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, August 19, 2009

Elak bertembung 'pengemis muda'


KOTA KINABALU: Setiap kali melintasi laluan pejalan kaki berhampiran Pasar Kraftangan dan Pasar Besar di tengah-tengah bandar raya ini, pasti ada kelibat 'pengemis muda' menadah tangan mengharap ehsan sambil matanya mengekori setiap pergerakan dengan pandangan mencurigakan.

Keadaan itu dengan sendirinya mengundang resah dan secara spontan juga tangan memegang erat beg tersandang di bahu. Secara automatik juga langkah dipercepatkan supaya tidak lagi menjadi perhatian kumpulan anak-anak jalanan itu dan secara perlahan-lahan, pelbagai kemungkinan terlintas di pemikiran.

Hakikatnya, di sebalik pelbagai pujian terhadap keindahan Sabah secara amnya dan Kota Kinabalu selaku ibu negeri khususnya, masih terselit senario anak jalanan warga asing menarik lengan baju pelawat sambil meminta sedekah.

Ada yang menjual nombor ekor, ada seorang dua menawarkan rokok seludup dan ramai yang membawa beg plastik sambil merayu: "Kakak, saya bawa barang pergi kereta, beri 20 sen."

Mereka kerap berlari mengekori orang ramai dianggar berusia dalam lingkungan enam hingga 12 tahun. Sesetengahnya berani meluahkan kata-kata kesat dan mencarut apabila permintaan mereka mahukan 20 sen tidak dilayan.

Pemandu teksi, Amad Shukor, 43, yang saban hari menunggu penumpang di kawasan berhampiran, mengakui ada di kalangan `pengemis muda' berkenaan bertindak agresif sesama mereka apabila berebut `pelanggan'.

"Mereka yang agak garang ini mungkin berusia 11 atau 12 tahun. Mereka jaga `kawasan' masing-masing dan pandai memilih orang yang dianggap akan menghulurkan seringgit dua.

"Bila dah lama mengemis, mereka boleh kenal orang macam mana yang boleh hulur duit. Budak dalam usia tujuh atau lapan tahun mana tahu apa-apa, mereka terus berlari dapatkan mangsa.

"Kalau kebetulan ada orang sudah diperhatikan golongan lebih berumur, memang bergaduhlah hingga kita pun naik takut sebab mereka kasar," katanya.

Sebahagian besarnya dilahirkan di sini tetapi tidak memiliki dokumen berikutan status ibu bapa sebagai pendatang tanpa izin, anak jalanan itu bebas bergerak tanpa batasan.

Mereka juga dikatakan licik menyelinap melarikan diri setiap kali mengesan pihak berkuasa seperti penguasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), anggota polis atau Imigresen meronda, seperti disimpulkan Amad: "Mungkin mereka sudah kenal muka anggota polis, DBKK dan Imigresen kerana terlalu kerap berjumpa."

Pemerhatian mendapati mereka cenderung mendekati wanita dan pelancong asing. Mereka juga boleh membezakan antara penduduk tempatan dengan pengunjung dari Semenanjung kerana warga tempatan jarang membeli-belah di Pasar Kraftangan.

Apa yang membimbangkan ada antara mereka mula berjinak-jinak dengan jenayah kecil seperti ragut dan menghidu gam.

Difahamkan ada kumpulan pengemis muda itu bergerak dari satu daerah ke daerah lain elak dikesan, selain ada yang berani membawa senjata kecil seperti pisau lipat.

Segala kegusaran, prasangka pengunjung kerana saban waktu diekori pengemis muda itu boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri merancakkan industri pelancongan dan untuk itu, wajah Kota Kinabalu yang dicemari senario sedemikian perlu diperbaiki.

No comments: