KOTA KINABALU 18 Ogos - Bayaran zakat fitrah di Sabah pada tahun ini ditetapkan sebanyak RM6.60 berbanding RM7.70 pada tahun lalu.
Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, kadar yang ditetapkan oleh MUIS itu adalah berasaskan kepada satu gantang atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk Sabah.
"Kadar zakat fitrah bagi tahun 1430 Hijrah bersamaan tahun 2009 adalah berharga RM6.60 atas setiap orang Islam yang bermastautin di negeri Sabah.
"Jumlah kutipan yang disasarkan untuk zakat fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM6.6 juta daripada kira-kira sejuta orang manakala, sasaran bagi zakat harta adalah RM20 juta," katanya pada sidang akhbar sempena majlis taklimat amil negeri Sabah 2009 di Wisma MUIS dekat sini hari ini.
Turut hadir Penolong Setiausaha Pusat Zakat Sabah, Zaratkhan Abdul Rahman.
Pada majlis itu, Public Bank Kota Kinabalu yang diwakili oleh Penolong Pengurusnya, Muhammad Tolling, turut menyerahkan wang zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2008 sebanyak RM20,000 kepada Syed Abas.
Menurut Syed Abas, seramai 35 amil dan 2,000 pembantu amil telah dilantik oleh MUIS untuk memungut zakat fitrah di seluruh negeri Sabah sepanjang Ramadan ini.
Dalam pada itu, katanya, MUIS berjaya merekodkan kutipan zakat tertinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak RM23.8 juta, berbanding RM17.5 yang direkodkan pada 2007.
"Jumlah ini merupakan yang tertinggi pernah direkodkan oleh MUIS sejak ia ditubuhkan pada 1972 di mana kutipan zakat fitrah pada tahun lepas adalah sebanyak RM7.3 juta manakala kutipan zakat harta pula adalah sebanyak RM16.4 juta," katanya.
Sementara itu beliau berkata, pada bulan Ramadan ini, MUIS memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk diagihkan kepada golongan yang layak.
"Peruntukan itu akan diagihkan kepada asnaf fakir, golongan miskin dan mualaf bagi menggembirakan hati para penerima dan sebagai persediaan mereka menyambut 1 Syawal," katanya.
No comments:
Post a Comment