JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, August 11, 2009

REPLIKA NAJIB

Replika gergasi perdana menteri di perkarangan kompleks kuil Batu Caves telah dirobohkan semalam, tidak lama selepas ia menjadi isu di internet, khususnya di kalangan penyokong pembangkang.

Mereka menyifatkan imej besar itu bertentangan dengan sikap Umno yang membantah keras replika Datuk Seri Anwar Ibrahim, di simpang utama kira-kira dua kilometer dari kuil tersebut, tahun lalu.

Blog rasmi ADUN Batu Caves Amirudin Shari kelmarin menerbitkan tulisan yang menempelak pemimpin Umno dan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disifatkan sebagai "bising bagai nak rak" terhadap replika Anwar tetapi berdiam diri terhadap replika Najib.

Ahli jawatankuasa kuil itu N Sivakumar bagaimanapun menjelaskan bahawa
replika Datuk Seri Najib Razak diturunkan selepas tamat festival tiga hari itu.

Kunjungan Malaysiakini pagi ini di kuil Sri Mariaman mendapati papan-papan lapis yang digunakan untuk mempotretkan imej Najib disusun tidak jauh dari kaki struktur besi penyangga replika tersebut.

Empat pekerja sedang merungkaikan struktur besi yang terletak kira-kira 20 meter dari pintu utama kawasan tarikan pelancong itu.

Sebelum ini, replika Najib berwajah tanpa senyuman yang sedang mengangkat tangan kanannya, sementara tangan kirinya di belakang, didirikan di hadapan pintu masuk kuil berkenaan.

Ia terletak kira-kira 50 meter dari patung Dewa Muruga berwarna emas yang menjadi mercu tanda destinasi tumpuan pelancong itu.

Imej berketinggian kira-kira 10 meter itu memaparkan imej Najib berkemeja oren – warna yang dikaitkan dengan pertubuhan Hindraf – dan berseluar hitam dalam keadaan seolah-olah sedang melangkah.

Sivakumar, ketika dihubungi Malaysiakini, berkata bahawa pembinaan replika itu bagi meraikan kedatangan Najib di situ yang dijadikan tapak festival "Satu Malaysia" yang tamat kelmarin setelah 30 tahun kompleks kuil itu tidak dikunjungi oleh perdana menteri.

Ia juga dibina bagi menandakan sokongan terhadap gagasan Najib itu, tambahnya.

"Ia sebahagian daripada sambutan terhadap perdana menteri. Kita juga mahu menunjukkan sokongan terhadap konsep Satu Malaysia yang diperkenalkannya," katanya.

Sivakumar berkata beliau "tidak tahu" kos pembinaan replika itu yang didirikan oleh satu jawatankuasa kecil sambutan festival itu - kerjasama antara Majlis Hindu Malaysia dan kuil berkenaan.

Jelasnya lagi, wang itu disumbang oleh masyarakat sekitar dan peniaga di kawasan kompleks tersebut.

Festival yang julung kali diadakan akan diraikan secara tahunan memandangkan sambutan menggalakkan, sehingga 10,000 orang, daripada masyarakat pelbagai kaum, tambah Sivakumar.

Pesta tersebut dimeriahkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum, pertunjukan bunga api dan gerai jualan.

Ketika kunjungannya Sabtu lalu, Najib turut diperdengarkan lagu tema slogan perdana menteri itu dalam irama hip hop dan R&B buat pertama kalinya.

Lagu berbahasa Inggeris bertajuk "One Malaysia, Living Harmony" itu dihasilkan tiga remaja India, V Vishal dan pasangan kembar, K Rashmika dan K Raanita.

No comments: