Seorang pengusaha kedai runcit di Samariang Baru dekat sini, Fabian Laberi, 35, berkata harga telur ayam naik sebanyak RM1.80 (bagi pembungkusan 30 biji), sejak sebulan lalu.
Beliau yang mengusahakan dua kedai runcit di Semariang Baru dan Sejingkat berkata, harga telur Gred A kini naik kepada RM10.20 (30 biji), Gred B RM9.50 (30 biji) dan Gred C RM9.20 (30 biji).
Pada masa sama kata beliau, masalah kekurangan bekalan gula masih berlarutan dengan dua kedai runcitnya sudah kehabisan stok sejak lebih seminggu yang lalu.
"Kami tak dapat untung banyakpun dengan kami membeli gula dari pembekal dengan harga RM1.55 sekilogram dan menjualnya dengan harga RM1.60 sekilogram, cuma untung 5 sen setiap kilo," katanya.
Fabian berkata, pihak pembekal memaklumkan bahawa kapal membawa gula hanya akan datang paling awal pada 20 Ogos ini iaitu dua hari menjelang puasa.
Ini katanya, sekali gus bermakna pihaknya perlu menunggu lama lagi sehingga memaksa beliau mendapatkan bekalan gula paket atau lebih dikenali sebagai 'gula hotel' buat sementara waktu, yang dijual dengan harga RM1 sebungkus.
Lebih parah kedai runcit beliau juga menjadi pembekal kepada sebuah hotel di sini yang memerlukan bekalan 100 kilogram setiap minggu, namun keadaan sekarang menyebabkan mereka benar-benar tertekan.
Peniaga, Voon Jin Fui, 35, kesal kerana masalah ini berlaku setiap kali menjelang perayaan terutama ketika bekalan gula dan telur amat diperlukan untuk umat Islam menyambut puasa dan menyambut Aidilfitri.
"Pihak berkuasa khususnya kementerian berkenaan perlu memantau rapi perkara ini bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menjelang perayaan," katanya.
Seorang pembeli, Lorina anak Lawrence, 18, berkata beliau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula kerana kesemua kedai runcit di kawasan Samariang Baru terputus bekalan sejak seminggu lalu dan masalah sama juga dihadapi di kedai lain sekitar Kuching.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Mohd Khalis Kasim, berkata masalah bekalan gula akan diatasi sebaik kapal membawa gula sampai pada hujung minggu ini.
"Kita akui masalah kekurangan bekalan gula berlaku sekarang bukan saja di Kuching malah lebih buruk di kawasan seperti Limbang, Lawas dan Bintulu. Semuanya ada kaitan dengan aktiviti penyeludupan keluar gula dari negeri ini ke negara jiran," katanya sambil menambah langkah penguatkuasaan lebih tegas akan diambil untuk menangani masalah itu.
Mengenai harga telur, beliau berkata, KPDNKK akan bermesyuarat hari ini (Jumaat) untuk menentukan tindakan seterusnya yang akan diambil bagi menangani masalah itu dan jika perlu kementerian akan mengimport sebanyak mungkin telur untuk menstabilkan semula harga.
"Masalah sekarang ialah pembekal menaikkan harga telur kerana mendakwa harga makanan ayam naik dan keuntungan mereka semakin sedikit. Jika pembekal tempatan masih berdegil mahu menaikkan harga telur, kami akan mengambil tindakan termasuk membuka pasaran kepada pembekal luar iaitu mengimport telur ayam dari luar.
"Secara tidak langsung langkah mengimport telur dari luar ini akan menstabilkan semula harga telur," katanya kepada Berita Harian.
1 comment:
payah juga kalau semua nak naik... panas pun boleh naik jugak ni..
Post a Comment