SEJAK Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu, tujuh pilihan raya kecil sudah diadakan termasuk yang terbaru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 25 Ogos depan.
Tujuh pilihan raya kecil membabitkan dua kerusi Parlimen dan lima DUN dalam tempoh setahun lima bulan selepas Pilihan Raya Umum adalah sesuatu jarang berlaku di negara kita.
Ia bermula dengan Parlimen Permatang Pauh tahun lalu, Bukit Gantang (Parlimen) dan Bukit Selambau (DUN) diadakan serentak, Batang Ai (DUN), Penanti (DUN) Manek Urai (DUN) dan Permatang Pasir (DUN).
Apa yang menarik, dalam tempoh itu, tiga daripada pilihan raya terbabit berlangsung di tempat kebetulan semua bermula dengan huruf ‘P’ di Pulau Pinang iaitu Permatang Pauh, Penanti dan Permatang Pasir.
Yang pasti, setiap kali pilihan raya kecil selain calon, jentera parti dan anggota keselamatan, petugas media yang merangkumi wartawan dan jurugambar adalah golongan yang paling sibuk.
Dalam soal ini, petugas media yang berpangkalan di Pulau Pinang dilihat lebih ‘istimewa’ kerana dalam tempoh itu mereka sudah terbabit dengan tugasan empat pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu.
Malah, sebahagian besar mereka turut terbabit dalam pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Sungai Petani Kedah, April lalu.
Sebagai petugas media, membuat liputan sewaktu pilihan raya adalah suasana berbeza berbanding liputan biasa. Yang pasti, waktu bekerja akan meningkat berkali ganda di mana mereka perlu bertugas pagi, petang, siang dan malam setiap hari tanpa hari cuti bermula pada hari penamaan calon, tempoh berkempen sehinggalah hari membuang undi yang biasanya mengambil masa antara lapan hingga 10 hari.
Bagi mereka, cabaran membuat liputan pilihan raya seperti mengejar dateline yang singkat, bekerja hingga lewat malam (ada juga sehingga waktu dinihari), berpanas, berhujan, dicaci pihak tertentu malah ada yang pernah dipukul, sudah menjadi lumrah.
Bagi sesetengah orang, bekerja tidak tentu masa dalam keadaan begitu adalah sesuatu yang tidak masuk akal, tetapi itulah yang perlu dihadapi petugas media terutama di Pulau Pinang yang sudah bekerja dalam empat pilihan raya dalam tempoh lebih setahun. Memang istimewa!
Walaupun penat, komitmen terhadap tugas tetap diutamakan dalam memberi laporan terbaik kepada orang ramai baik menerusi akhbar, televisyen, radio dan Internet.
HARIAN METRO
1 comment:
salam ziarah
lama xdpt singgah..i'allah sy yakin anda jg mampu mjadi wartawan yg berjaya suatu hr nti. ingatlah..walaupn kita terpaksa bersusah kini, namun xsmestinya kita akan selamanya susah..
teruskan perjuangan ya akh..syukrn.
Post a Comment