JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, June 14, 2009

Kontraktor bakal gulung tikar

KOTA KINABALU: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Sabah menjangka ramai ahlinya akan gulung tikar berikutan syarat baru Kementerian Kerja Raya untuk memberikan projek hanya kepada kontraktor memiliki pensijilan ISO dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Yang Dipertuanya, Awadnir Matanggal, berkata setakat ini tiada seorang pun daripada 120 ahli persatuan itu memiliki pensijilan itu.

"Kami harap syarat itu ditangguhkan demi kepentingan kontraktor Bumiputera yang tiada pensijilan ISO, “katanya di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor hanya kontraktor yang mematuhi piawaian pembinaan, kod etika kontraktor dan memiliki sijil ISO layak mendapat projek kementerian itu dalam RMK-10.

Shaziman dilaporkan berkata, pematuhan piawaian pembinaan, kod etika kontraktor dan memiliki sijil ISO mampu meningkatkan kualiti pembinaan, selain memastikan projek yang dirancang berjalan lancar.

Beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bertanggungjawab menentukan firma kontraktor berintegriti tinggi dan perlu mengambil tindakan membatalkan pendaftaran firma serta kontraktor yang terbukti mengabaikan aspek itu.

CIDB juga harus memperketat kriteria pendaftaran kontraktor berdasarkan keperluan dan keupayaan mereka dalam usaha melahirkan kontraktor berwibawa, yang mengutamakan kualiti dan tidak mengabaikan kepentingan sosial seperti keselamatan pekerja serta kesihatan, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Awadnir berkata, anggota persatuan itu berharap syarat itu ditangguhkan ke Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi membolehkan mereka memohon pensijilan berkenaan.

Beliau berkata, persatuan itu tidak menolak pensijilan berkenaan, sebaliknya merayu ia ditangguhkan bagi membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai projek Kementerian Kerja Raya dalam RMK-10.

No comments: