JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, June 17, 2009

SEKUTU BN BERAT SEBELAH?


SRI AMAN. Isnin – Ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) dinasihat agar tidak pilih kasih dalam memberikan sokongan terhadap para calon komponen Barisan Nasional (BN) di kawasan masing-masing menjelang pilihan raya akan datang menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.
Ahli parti ini menurut beliau tidak harus bersikap ‘bias’ terhadap calon BN dari parti lain seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Bersatu Rakyat Sarawak dan Parti Progresif Demokratik Rakyat (SPDP) memandangkan mereka termasuk PRS juga tergolong dalam satu keluarga BN dalam negeri ini.

“Jika calon BN (untuk pilihan raya) di kawasan itu misalnya daripada PBB, maka ahli PRS, SPDP dan SUPP dalam kawasan berkenaan harus turun padang untuk memberi sokongan padu terhadap calon parti berkenaan...keadaan sebaliknya juga begitu.

“Kita, orang PRS kena tunjukkan kepada rakyat bahawa BN adalah merupakan sebuah komponen parti yang kuat dan sukar dicabar oleh pihak pembangkang...justeru atas sebab ini adalah amat penting setiap ahli (PRS) mengenepikan sikap pilih kasih mereka menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Gawai Dayak dan Ngiling Tikai 2009 anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS) cawangan Simanggang bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam kelmarin.

Dengan adanya sikap kerjasama yang ditunjukkan oleh semua ahli komponen BN, rakyat menurut Masir akan melahirkan rasa yakin terhadap kepimpinan BN menjelang pilihan raya di negeri ini pada tahun 2010 atau 2011 kelak.

“Jangan tonjolkan kelemahan parti kita di hadapan rakyat memandangkan ia kelak boleh menimbulkan ketidakyakinan mereka terhadap komponen parti BN lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihan raya ini nanti.

“PRS menerusi ahlinya harus bersatu dengan semua komponen parti BN yang lain di negeri ini agar tidak memberi peluang terhadap pihak lawan (pembangkang) untuk mencungkil kelemahan perpaduan parti kita bagi tujuan senjata politik,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, John Sikie Tayai, Setiausaha PRS Balai Ringin, Abah Ugi, Pegawai Publisiti PRS Baleh, Christopher Nyuak, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Donald Lawan, para ahli PRS dari seluruh bahagian dalam negeri ini.

John telah mewakili Presiden PRS iaitu Dato Sri Dr James Jemut Masing untuk merasmikan Majlis Sambutan Gawai Dayak dan Ngiling Tikai 2009 anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS) cawangan Simanggang bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam kelmarin.

Majlis pada malam itu telah diserikan lagi dengan pelbagai acara menarik seperti persembahan Lagu Tajaan, Persembahan Nyanyian Lagu Suara Emas, Cabutan Tiket Bertuah dan juga Persembahan Tarian Poco-Poco.

utusan sarawak

No comments: