JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 15, 2009

ENGGAN MOHON MAAF


KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Rakyat menegaskan beliau tidak akan memohon maaf andai terdapat Ahli Parlimen (AP) Sarawak yang tersinggung berikutan kenyataannya menyebut AP negeri ini kurang lantang bersuara di dewan kerana ia adalah berlandaskan fakta.

Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, permintaan supaya beliau memohon maaf juga dilihat keterlaluan kerana menganggap ia adalah teguran ikhlas.

“Kenyataan bahawa AP Sarawak kurang lantang dalam menyuarakan pendapat berhubung sebarang isu berbangkit di Dewan Rakyat bukan berniat untuk memperlekehkan AP negeri ini, cuma saya mahukan penyertaan yang seimbang antara wakil rakyat negeri ini dengan rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Kepada mereka (AP) yang tersinggung… pintu pejabat saya sentiasa terbuka,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Ahli Parlimen Santubong itu memberitahu, keseimbangan pembabitan AP Sarawak dalam perbahasan di Dewan Rakyat penting untuk menangkis persepsi rakyat bahawa cuma pembangkang yang lantang bersuara di Parlimen.

Menurutnya, kenyataan yang disiarkan oleh media berhubung tegurannya itu hanya sekadar untuk menjawab pertanyaan pemberita yang ingin tahu sejauh mana penyertaan AP Sarawak di Parlimen.

Khamis lalu, Wan Junaidi memberitahu peranan AP bukan sekadar menghadiri persidangan untuk memenuhi kerusi dewan tetapi perlu turut serta dalam memberi pandangan untuk kepentingan rakyat.

“AP dari Sarawak kurang lantang dan agresif dalam persidangan berbanding AP dari Semenanjung Malaysia dan Sabah… kalau hanya duduk dan mendengar buat apa?,” kata Wan Junaidi dipetik sebagai berkata dalam laporan sebelum ini.

Dalam pada itu, peristiwa paling dikesali Wan Junaidi ialah pernah suatu ketika apabila pembangkang memperkatakan sesuatu tentang Ketua Menteri (Pehin Sri Taib Mahmud) dalam dewan, tiada AP negeri ini yang tampil untuk mempertahankan.

“Dalam hal sebegini, AP Sarawak perlu bangkit mempertahankan cercaan pembangkang lebih-lebih lagi ia membabitkan pemimpin yang kita sanjung dan hormati, bukan keluar dari dewan,” tambahnya.

BORNEOPOST

No comments: