JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, June 17, 2009

PUTING BELIUNG MELANDA SARAWAK



KUCHING 16 Jun - Sebanyak 400 penduduk membabitkan 80 kediaman di Bandar Baru Semariang dan Taman Puteri mungkin terpaksa tidur beratapkan langit pada malam ini selepas bumbung rumah diterbangkan angin kencang dalam kejadian hujan ribut di sini petang ini.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, penduduk mendakwa dua kawasan tersebut dilanda angin puting beliung dalam tempoh satu minit.

Situasi itu mengakibatkan bumbung kediaman mereka diterbangkan angin sejauh dua meter yang turut terkena beberapa kenderaan penduduk malah beberapa batang pokok besar turut tumbang.

Ekoran kejadian itu, penduduk mula keluar dari kediaman masing-masing bagi menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang mangsa Abdul Rahman Basri, 42, memberitahu, kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia cemas apabila melihat atap rumahnya mula bergegar dan tercabut lalu menimpa kenderaannya yang terletak di luar pagar rumah.

Katanya, dia terbangun dari tidur semasa hujan ribut untuk menutup pintu dan tingkap rumah pada kira-kira pukul 3 petang.

''Saya ternampak angin putih berpusar-pusar melalui halaman rumah dan melihat atap tercabut.

''Kejadian tersebut benar-benar mencemaskan kerana pergerakan angin kencang itu seolah-olah sedang merempuh rumah ini," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Bostaman Majid, 42, pula memberitahu, sewaktu kejadian dia tidak berada di rumah dan menerima panggilan telefon dari anak lelakinya berusia 14 tahun yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, dia bergegas balik dan mendapati beberapa bahagian bumbung rumahnya telah diterbangkan angin.

''Sewaktu kejadian hanya anak lelaki saya saja berada di rumah dan saya bersyukur kerana tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Semasa kejadian itu, seorang warga emas yang nyanyuk dan tidak mampu bergerak hanya mampu terpinga-pinga melihat atap rumahnya diterbangkan angin.

Hamidah Salleh, 64, berada di dapur ketika kejadian terpaksa menjerit bagi menarik perhatian jiran-jiran sebelum beberapa penduduk membawanya keluar dari kediaman tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi turut meluangkan masa melawat ke tempat kejadian pada petang ini.

Ketika ditemui, beliau berjanji akan berusaha membantu mangsa-mangsa yang terlibat dan pada masa yang sama meminta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan tersebut mendaftarkan mereka yang terbabit.

''Saya juga minta mangsa ribut membuat laporan polis mengenai kerugian," katanya.

utusan

p/s: gambar diatas gambar hiasan

No comments: