JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 1, 2009

Kubur Tentera digali?


Timbalan Ketua Menteri Alfred Jabu bersetuju agar kubur tentera Sarawak digali semula dan dipindahkan ke negeri itu serta bersetuju dengan pembinaan tugu untuk tujuan itu yang dianggarkan RM 200,000.

KUCHING: Maklum balas positif daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu terhadap usaha mengebumikan semula para anggota Renjer Sarawak memungkinkan hasrat pembinaan Tugu Peringatan Wira dapat direalisasikan.

Leftenan Jeneral (Bersara) Robert Rizal Abdullah berkata pembinaan tugu perlu dimulakan dengan pemindahan 21 kubur anggota Renjer Sarawak yang terkorban di Semenanjung Malaysia dan Singapura ketika zaman pramerdeka.

“Saya hilang kata-kata (apabila Jabu menyambut baik cadangan memindahkan kubur).

“Saya amat gembira apabila dia (Jabu) melihat keperluan membina Tugu Perwira dan membawa pulang rangka-rangka wira-wira Iban,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jabu pada Khamis lepas, berjanji memberi sumbangan RM7,000 melalui geran projek kecil luar bandar (MRP) bagi membantu membiayai kos pemindahan rangka-rangka para pejuang dari Semenanjung dan Singapura ke Sarawak.

Para pejuang yang disemadikan di Perkuburan Tentera Terendak ialah Prebet Entap Tulu yang meninggal dunia pada 15 Mac 1951, Prebet Nyantau Juna (10 Ogos 1951), Prebet Manit Cheling (20 Mac 1951), Prebet Nyaru Talap (11 Januari 1952), Prebet Mat Akit (30 Julai 1953), Prebet Empati Dugu (20 November 1953), Prebet Adrian Tandang (27 November 1953) dan Pengawal Sempadan Utot Tangang (21 September 1963).

Manakala di Perkuburan Jalan Cheras Kuala Lumpur terdiri daripada Prebet Bulan Kasau, Prebet Kelambu Gadong dan Prebet Untang Engan yang meninggal dunia pada 22 November 1951.

Turut dikebumikan di perkuburan yang sama ialah Prebet Rejab Bagi (27 Januari 1956).

Mereka yang dikebumikan di Perkuburan Kristian Jalan Kamunting Taiping ialah Prebet Ugap Utut (28 Januari 1954), Prebet Letan Kusing (22 Julai 1957) dan Prebet Nyambik Pasang (10 Jun 1958) dan Prebet Kumpang Tinggi (27 November 1959).

Dua wira yang disemadikan di Perkuburan Kristian Batu Gajah Perak ialah Prebet Jaweng Jugah (12 Mac 1951) dan Prebet Unggat Jugom (7 Disember 1955).

Mendiang Lans Koperal Ungkok Jugam yang terkorban pada 13 Februari 1955 disemadikan di Perkuburan Kristian, Jalan Sultanah, Alor Setar.

Di Perkuburan Tentera Kranji, Singapura ialah Prebet Dempi Berain (19 Disember 1955) dan Prebet Janggak Inkoi (15 Jun 1956).

Rizal memberitahu, saudara-mara mereka yang terkorban itu masih belum dikenal pasti.

Mengenai kos untuk membawa balik semua wira Sarawak itu, Rizal berkata anggaran kasar ia memerlukan RM200,000.

“Saya tidak tahu berapa wang yang diperlukan. Ia merangkumi kerja-kerja menggali kubur dan meletakkan rangka-rangka dalam keadaan tersusun dalam keranda, mengebumikan semula dan pengangkutan ke Kuching.

“Akhir sekali ia memerlukan Tugu Perwira yang akan menempatkan persemadian terakhir,” katanya.

Beliau amat mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Projek itu katanya, bukan sekadar untuk membawa pulang rangka-rangka pejuang masa lampau tetapi mempunyai makna di sebalik usaha itu.

“Kita mahu warga Sarawak mengetahui kualiti askar dan wira yang kita miliki pada masa lampau. Kita mahu warga Sarawak bangga dengan pencapaian mereka,” katanya.

Rizal tergerak hati untuk berbuat demikian apabila terbaca kisah satu kubur milik anggota Renjer Sarawak, Lans Koperal Ungkok Jugam, di Kilometer 3, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah menerusi blog pada November 2008.

Sambil menyifatkan ia sebagai ‘penemuan mengejutkan’, beliau memberitahu kubur Ungkok terletak di bahu jalan.

“Seorang wira yang mati berkorban untuk negara, kuburnya yang terletak di tepi jalan adalah satu perkara yang amat menyedihkan,” katanya.

Dengan usaha beliau, kubur berkenaan dipindahkan ke pekarangan Gereja Katolik St Michael di Jalan Sultanah pada 28 April lepas.

Selaras dengan usaha untuk memindahkan kubur-kubur wira Sarawak yang dikebumikan di Semenanjung Malaysia dan Singapura, beliau berharap Kerajaan Negeri akan meluluskan syor untuk membina Tugu Peringatan Wira di sini.

Katanya, cadangan itu telah dikemukakan kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Rancangan untuk memindahkan kubur-kubur itu bergantung kepada penyediaan Tugu Peringatan Wira dan ini bergantung kepada persetuju-an kerajaan negeri,” katanya.

No comments: