JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, June 3, 2009

SAMPAI BILA KAMI AKAN BERGELAP ???


MEMANG sukar diakui hakikat yang terpaksa ditempuhi penduduk Kampung Pinang, Kota Samarahan di Sarawak apabila lebih 60 rumah penduduk masih bergelap kerana tiada bekalan elektrik, meskipun kawasan itu berjiran dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Biarpun permohonan telah diajukan kepada pihak berkuasa, sama ada melalui saluran politik atau menerusi Pejabat Daerah Kota Samarahan, tetapi tiada tanda impian kami akan menjadi kenyataan.

Bila diajukan pertanyaan sampai bila penduduk akan terus bergelap? Jawapan biasa yang acap kali didengar saban tahun daripada mulut pegawai di Pejabat Daerah berkenaan yang meminta kami bersabar, kononnya tindakan sewajarnya akan diambil sedikit masa nanti.

Wakil rakyat pula amat sukar untuk dibuat temu janji bagi mengemukakan permasalahan dihadapi termasuk pelbagai masalah lain di kampung. Apakah wakil rakyat hanya menjengok kami apabila waktu dekat dengan pilihan raya?

Pihak kami sememangnya memahami kesibukan wakil rakyat dalam mengurus dan melaksanakan rutin harian sebagai Yang Berhormat, tetapi pada masa sama, tengok-tengoklah masalah kami.

Bukankah masalah yang kami hadapi sekarang adalah salah satu daripada tugas yang patut ditangani wakil rakyat? Maka itulah sebab beliau dipilih untuk membawa permasalahan orang kampung kepada pihak yang berkaitan untuk diselesaikan.

Kami amat berharap agar wakil rakyat kami turun padang untuk melihat dan menyelami permasalahan rakyat di akar umbi. Jangan hanya mengharapkan laporan daripada pembantu yang sememangnya lebih berminat kepada agenda peribadi daripada kepentingan rakyat.

PINANG SEBATANG, Kota Samarahan.

SURAT PEMBACA BERITA HAIRAN 03 JUN 2009

No comments: