JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, July 15, 2009

Perkeso Dakwa Majikan Di Sabah


Seramai 37 majikan di Sabah didakwa oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Keselamatan Sosial 1969 dalam tempoh antara Januari dan Jun tahun ini.

Pengarah Perkeso Sabah Jeeva Narayanasamy berkata antara kesalahan yang dilakukan majikan adalah kegagalan mendaftar pekerja, perusahaan, membuat caruman dan laporan kemalangan.

Beliau berkata majikan itu didakwa mengikut Seksyen 94 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Walaupun Perkeso sudah mengambil inisiatif untuk mendidik majikan supaya dapat mematuhi Akta Keselamatan Sosial dan Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial 1971, namun ada juga majikan yang enggan memberi kerjasama.

"Ini memaksa Perkeso mengambil tindakan keras terhadap mereka melalui kompaun dan pendakwaan yang merupakan langkah terakhir yang diambil untuk menyedarkan mereka," katanya ketika merasmikan Program Seranta Perkeso di sini pada hari Rabu.

Narayanasamy berkata selain itu 143 majikan dikenakan kompaun RM300 hingga RM2,000 dalam tempoh yang sama tahun ini.

Katanya majikan yang dikompaun dan didakwa ke Mahkamah itu dikesan dalam Operasi Pengesanan yang dijalankan pihaknya sejak awal tahun ini bagi mengenal pasti majikan yang sudah layak tetapi belum berdaftar dengan Perkeso.

Beliau berkata operasi dijalankan di seluruh Sabah dan hasilnya didapati banyak majikan yang layak tetapi belum berdaftar dengan Perkeso.

Menurutnya sehingga Mei lepas 45,000 majikan berdaftar dengan Perkeso dan bilangan pekerja yang didaftarkan adalah 519,000 orang.

-- BERNAMA

No comments: