JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, July 17, 2009

Pantau kelahiran 'bandar kaum'


Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memantau kewujudan 'bandar kaum' seperti Malay Town, China Town serta Little India agar kewujudannya tidak membantutkan gagasan 1Malaysia.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengawal kewujudan kawasan-kawasan seumpama itu yang hanya menonjolkan kaum masing- masing.

''Perkembangan seperti itu tidak sihat dan kerajaan perlu mengawalnya. Jumlah kawasan yang beridentitikan budaya seumpama itu semakin bertambah. Saya tidak senang hati melihat fenomena itu yang langsung tidak mencerminkan gagasan 1Malaysia,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu yang bertajuk Macam-macam town.

Artikel tersebut mempersoalkan kewajaran wujudnya terlalu banyak kawasan beridentitikan budaya seperti China Town, Little India dan terbaru, Malay Town di Kuantan, Pahang.

Tokoh Sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, kewujudan bandar-bandar sebegitu membuktikan kerajaan masih gagal mengintegrasikan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

''Masyarakat dilihat masih mengutamakan etnik sendiri. Apa akan jadi sekiranya masyarakat Iban, Kadazan, Bidayuh dan Sikh mahu mewujudkan 'town' masing- masing.

''Kerajaan perlu lebih berhati-hati dan serius sekiranya mahu merealisasikan konsep 1Malaysia,'' ujarnya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula menegaskan, kerajaan dan PBT perlu menghentikan kelulusan pembinaan bandar sebegitu selepas ini.

''Namun, ia (pembinaan) masih boleh dibuat jika kerajaan mahu memperkembangkan peluang perniagaan dan taraf ekonomi rakyat tempatan.

''Cuma, kerajaan perlu melakukan kajian mendalam sebelum meluluskan pembinaan kawasan sedemikian," jelasnya.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, kewujudan kawasan sedemikian mampu mengikis identiti Malaysia.

''Sepatutnya, legasi China Town di London, Little India atau Arab Street di Singapura tidak perlu diulangi di Malaysia.

''Pelancong datang ke sini untuk melihat kejayaan asimilasi budaya, bahasa dan agama dalam kalangan tiga kelompok utama di negara ini seperti yang dibuktikan sejak lebih 50 tahun lalu," katanya.

utusan

No comments: