KENINGAU: Sebuah kenderaan pick-up jenis Izuzu yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu di Kota Kinabalu ditemui di sini berikutan tertangkapnya dua suspek lelaki tempatan dan rakyat asing yang disyaki pengedar dadah dalam serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung Bingkor Lama di sini pada 7 Julai lalu.
Pemilik kenderaan itu, seorang wanita berusia 41 tahun yang datang menuntut kenderaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini memberitahu pemberita bahawa pada masa kejadian beliau bersama anak perempuannya berusia 12 tahun telah menghantar komputernya ke sebuah kedai di Komplek Karamunsing pada 2 Julai jam 5.10 petang.
Katanya, selepas itu, beliau bersama anaknya naik ke kenderaan mereka dan menghidupkan enjinnya dan pada masa itu tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali mengetuk pintu kenderaannya.
"Lelaki itu suruh saya turun untuk melihat tayar belakang sebelah kanan ada besi melekat. Saya pun turun melihat dan lepas itu lelaki itu menaiki kereta itu dan menyuruh anak saya yang duduk di sebelah pemandu turun," katanya.
Beliau yang enggan nama dan gambarnya disiarkan berkata, masa kejadian itu, beliau tidak menyangka sesuatu yang akan berlaku dan mengikut apa sahaja kata-kata lelaki itu.
"Saya hanya menyedari kejadian curi itu apabila melihat lelaki itu memandu dan membawa lari kenderaan saya dan saya bersama anak saya lantas ke Balai Polis Karamunsing untuk membuat laporan polis," katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada polis Keningau yang berjaya menemui kenderaannya yang dibelinya sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, DSP Zahari Mohammad menasihat orang ramai di sini agar sentiasa berhati-hati ke atas kenderaan mereka dan tidak mudah tertipu dengan apa yang dikatakan oleh orang yang tidak dikenali.
Dipercayai kenderaan itu telah dijual kepada salah seorang saspek yang ditangkap bersama rakannya rakyat asing dalam serbuan 7 Julai lalu dengan harga RM5,000 untuk digunakan mengedar dadah.
Plat nombor kereta itu juga sudah dipalsukan agar orang ramai tidak mengenali kereta itu.
No comments:
Post a Comment