JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, July 9, 2009

DADAH DI SARAWAK


Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) semalam melahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan inhalan yang semakin serius terutamanya di pinggir-pinggir bandar dan kampung.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan dan keselamatan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Micheal Nyelang Bedus berkata setakat ini belum ada sebarang tindakan atau undang-undang yang digubal untuk pesalah inhalan kerana ia bukan termasuk dalam kategori dadah.

“Walaupun trend dadah di Sarawak telah menurun pada tahun 2008 berbanding tahun sebelumnya, namun kita khuatir bahawa penggunaan inhalan semakin meningkat di kalangan orang awam.

“Kita hanya mampu memberi khidmat kaunseling kepada mereka yang menggunakan inhalan. Namun, usaha pencegahan termasuk pelaksanaan operasi akan diteruskan bagi mencegah penggunaannya,” katanya.

Bagaimanapun katanya trend penyalahgunaan dadah di Sarawak menurun dan masih terkawal dengan usaha membanterasnya akan terus dipertingkatkan.

“Hanya 51 orang penagih tegar yang disahkan positif dadah dikesan sepanjang tahun ini di Sarawak sementara lebih 300 lagi hanya menggunakan dadah sekali sekala tetapi bukan dikategorikan penagih tegar,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu di Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujuh, semalam.

Beliau memberitahu jumlah penagihan dadah di Sarawak tidak begitu serius berbanding negeri lain.

Micheal memberitahu, antara dadah yang popular dan seringkali menjadi pilihan penagihnya ialah Amphetamine, ketamine, syabu, dan pelbagai jenis pil khayal.

“Kita juga turut mengesan penyalahgunaan ketamine di Sarawak awal tahun ini. Apa yang kita bimbang ialah penggunaannya semakin berleluasa dan usaha pencegahan akan terus dipertingkatkan,” katanya.

Mengulas mengenai Operasi Bersepadu yang diadakan beliau memberitahu operasi yang julung kali diadakan itu adalah sebagai usaha menguatkuasakan undang-undang tentang dadah di pintu masuk ke negara ini.

“Kita akan meneruskan operasi di pintu-pintu masuk disempadan untuk mencegah penyalahgunaan dadah malahan kita bukan sahaja melaksanakan operasi tersebut disini tetapi juga tempat lain,” katanya.

Operasi Bersepadu itu turut melibatkan tujuh agensi kerajaan iaitu AADK, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam unit Penguatkuasaan dan Narkotik K9, Polis Trafik, dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Sepanjang operasi yang diadakan dari pagi hingga 4 petang semalam, pihak AADK telah menahan tiga orang termasuk seorang warga asing yang didapati positif dadah, daripada 133 yang diperiksa.

Dalam pada itu juga, sebanyak tujuh saman JPJ dikeluarkan dan tujuh lagi saman oleh polis trafik.

Manakala pihak JAS pula mengeluarkan satu amaran untuk peringatan asap kenderaan yang berlebihan. Sebanyak 15 buah kereta menjalani pemeriksaan asap tersebut.

borneopost

No comments: