Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata tugas utama klinik khas itu melakukan saringan kesihatan yang ketat terhadap semua pemuzik dari luar negara yang akan turut serta dalam RWMF 2009 itu nanti.
Katanya, sebelum dibenarkan masuk ke negeri ini sekali gus membuat persembahan di RWMF 2009, mereka diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini.
"Sejurus tiba di SCV mereka diwajibkan menjalani pemeriksaan saringan Influenza A (H1N1) di klinik khas yang diwujudkan di RWMF 2009.
"Mereka yang dikesan mempunyai sebarang tanda-tanda penyakit H1N1 akan dikuarantin serta merta dan saya berharap perkara itu tidak akan berlaku," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Dr Chan berkata RWMF 2009 yang dijadualkan pada 10 hingga 12 Julai ini akan tetap diteruskan.
Bagaimanapun, katanya langkah berjaga-jaga termasuk pemeriksaan saringan ke atas peminat muzik dan artis akan dilakukan bagi mencegah sebarang penularan Influenza A (H1N1).
RWMF 2009 yang diadakan di kaki Gunung Santubong dengan penyertaan empat kumpulan pemuzik tempatan dan 13 kumpulan asing dari Portugal, Chile, Hungary, Finland, New Zealand, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Tanzania, Maghribi, Poland, Indonesia dan Perancis.
Tahun lalu festival itu menarik kira-kira 22,000 peminat muzik dan menjana pendapatan sebanyak RM17 juta kepada negeri itu menerusi tempahan bilik hotel, makanan, minuman dan pengangkutan.
bharian
No comments:
Post a Comment