Setiausaha Agung USIA, Datuk Abdullah Hussin berkata, penubuhan sekolah itu juga penting dalam usaha berterusan memartabatkan lagi Islam di negeri ini.
Selain itu, katanya, ia juga dapat memudahkan pelajar terutamanya dari negeri ini mengikuti kursus dalam bidang Pengajian Islam.
"Sebelum ini pelajar khususnya dari negeri ini yang mengambil jurusan Pengajian Islam terpaksa melanjutkan pengajian ke beberapa universiti di Semenanjung dan di luar negara yang menawarkan kursus berkaitan.
"Jika pusat itu dapat diwujudkan di UMS ia memudahkan kepada pelajar di negeri ini untuk melanjutkan pengajian sekali gus memenuhi keperluan sumber manusia di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program Baitun Nur di masjid Al-Takwa di sini hari ini.
Menurut Abdullah, penubuhan pusat berkenaan akan dapat meringankan beban ibu bapa di negeri ini yang terpaksa menghantar anak-anak mereka ke Semenanjung atau luar negara untuk mengikuti kursus pengajian Islam.
"Sudah tiba masanya pusat pengajian Islam ditubuhkan di negeri ini bagi memartabatkan pendidikan Islam dan membawanya ke arus perdana pendidikan negara," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai program Baitun Nur yang dilaksanakan di beberapa daerah di negeri ini, beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan program tersebut.
Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada peruntukan kewangan memandangkan program itu memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi.
Tambahnya, program yang dijalankan selama enam bulan itu berjaya mencapai matlamat bagi memberikan bimbingan kepada saudara baru untuk mendalami ajaran Islam sebenar.
Utusan
No comments:
Post a Comment