TANPA disangka, kedatangan krew Harakah ke Kedah yang tidak dirancang, disambut mesra Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak meskipun hanya membuat temu janji saat akhir.
Misi utama adalah untuk mendapatkan ulasan mengenai isu-isu kontroversi membabitkan kerajaan negeri. Seawal jam 7.00 pagi, kami sudah berada di hadapan kediaman Ustaz Azizan di Sungai Limau dengan harapan dapat bertemunya.
Ustaz Azizan tersenyum mesra menyambut kehadiran kami di muka pintu rumahnya, dan tanpa berlengah menjemput kami masuk untuk turut serta bersarapan.
Markas PAS Jerai
"Yeh, pi beli sat mi ka, nasi lemak ka, kueh-kueh manis sikit, nak jamu depa ni," ujar Ustaz Azizan kepada pembantu beliau yang berada di rumahnya.
Rumah yang didiami Ustaz Azizan terletak di tepi Jalan Alor Star-Sungai Petani. Paling menghairankan, beliau duduk di rumah yang turut menempatkan markas PAS Kawasan Jerai.
Tidak terfikir di benak mana-mana rakyat di negara ini akan kehidupan sederhana seorang Menteri Besar selain kehidupan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Di Kedah, rakyatnya sangat bertuah memiliki Menteri Besar yang hanya duduk di rumah sendiri yang bersebelahan rumah rakyat; di belakang rumahnya terbentang sawah padi saujana mata memandang.
Beliau sendiri tidak mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di Sri Mentaloon, Alor Setar.
Kehidupan Ustaz Azizan lebih selesa di kampung yang mana beliau lebih mudah bertemu dengan rakyat, manakala rakyat mudah berhubung dengannya bagi mengadu hal semasa.
Berkain pelikat dan berbaju pagoda putih sudah menjadi kebiasaan Ustaz Azizan sejak 15 tahun menjadi wakil rakyat dan kini menjadi Menteri Besar.
Melayan para tetamu di rumahnya tidak pernah jemu, sebut apa sahaja masalah beliau sedia mendengar. Prinsip beliau mudah, tidak mahu promosi atau populariti kerana apa yang dilakukannya hanya untuk berbakti kepada rakyat dan mendapat keredaan Allah.
Jadual hidupnya mudah, berada di rumah sendiri untuk bertemu rakyat, dan sesekali singgah di Sri Mentaloon untuk bertemu tetamu dari luar atau urusan rasmi.
Medah dakwah
Selain itu, kediaman rasmi turut dijadikannya sebagai medan dakwah apabila dua kali Sabtu dalam sebulan akan diadakan kuliah bersama Dato' Dr Haron Din dan beberapa pendakwah tempatan.
Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid memaklumkan Harakah bahawa Ustaz Azizan tidak mengambil elaun-elaun selaku pengerusi beberapa syarikat berkepentingan kerajaan negeri (GLC), malah banyak mewakafkan sebahagian pendapatannya untuk rakyat dan parti.
Sekian lama menjadi Adun Sungai Limau sejak 15 tahun lalu, beliau tidak pernah 'lokek' dengan senyuman, wangnya dibelanjakan untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat.
"Saya mahu rakyat selesa, duduk aman damai dan sejahtera." Itulah prinsip utama Ustaz Azizan yang dipegang sejak sekian lama.
Beliau akan berada di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman seawal jam 9.00 pagi dan pulang kira-kira jam 6.00 petang. Beliau akan menghadiri pelbagai program yang telah disusun termasuk acara rasmi kerajaan, pertemuan dengan pegawai-pegawai kerajaan negeri, pertemuan dengan tetamu rasmi atau tidak rasmi
Mudah didekati
Seperti kata jiran sebelah rumahnya, yang dikenali sebagai Haji Man atau Pak Long, yang memuji keramahan dan kesederhanaan Ustaz Azizan, bahawa beliau sangat mudah didekati berbanding menteri besar sebelum ini.
Kehidupan Ustaz Azizan mudah, makan cara kampung, duduk di rumah yang kecil tidak seperti sesetengah menteri besar dan bekas menteri besar.
Isterinya mudah melayani tetamu dengan menghidangkan air dan makanan sendiri tanpa mengharapkan pembantu rumah.
Kehidupan anak-anaknya mudah, bersekolah di sekolah agama sama seperti anak rakyatnya, malah pergaulan mereka juga adalah di kalangan anak-anak rakyat marhaen.
Jaga lalu-lintas
Anaknya sudah biasa melakukan kerja-kerja 'budak parti', menjadi anggota Unit Amal, daripada menjaga keselamatan lalu lintas pada program ceramah hinggalah mengangkat kerusi.
Seharian bersama Ustaz Azizan memperlihatkan seorang menteri besar yang hidupnya sederhana, mudah dan 'humble' yang menghampiri kehidupan 'sederhana' Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Pastinya penduduk di luar Kedah mencemburui rakyat negeri Jelapang Padi kerana memiliki seorang menteri besar yang hidupnya sederhana seperti rakyat kebanyakan.http://harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment